Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak semalam mendedahkan perlawanan final Piala AFC 2022 menentang kelab Oman, Al Seeb pada 22 Oktober ini kemungkinan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Beliau berkata demikian kerana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras tidak mencapai standard yang diperlukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah.

Difahamkan, pemasangan video bantuan pengadil (VAR) dan isu kecerahan lampu limpah yang tidak memenuhi 1800 lux adalah punca utama lokasi perlawanan itu terpaksa diubah ke SNBJ.

Situasi itu menyebabkan para pemain KL City sedikit kecewa kerana hasrat mereka untuk beraksi di tempat sendiri tidak menjadi kenyataan.

“Mereka (AFC) mahu menggunakan VAR dan perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan lampu limpah yang tidak ada di sini (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur).

“Semua pemain dan jurulatih mahu bermain di Cheras kerana sudah biasa dengan stadium ini tetapi disebabkan isu teknikal kami harus bermain di Bukit Jalil,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC semalam.

Kejayaan melangkah ke final Piala AFC menjadi satu lagi sejarah besar dicipta KL City di bawah kendalian Bojak Hodak selepas menamatkan penantian 32 tahun skuad itu untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun lalu.

KL City
Sumber Gambar: Kuala Lumpur City

Malah, Bojan sendiri terkejut melihat kemampuan anak buahnya menewaskan kelab dari Uzbekistan yang diketahui memiliki kualiti dan ranking lebih tinggi daripada Malaysia.

Pengalaman menentang kelab Vietnam, Viettel FC dan kelab India, ATK Mohun Bagan jelas mengajar KL City beraksi lebih tenang menyerap setiap asakan pemain lawan.

Mereka berpeluang menyamai pencapaian JDT yang pernah menjuarai Piala AFC pada tahun 2015.

“Kami melakukannya di Vietnam, di India dan di sini. Dengan pasukan yang mengamalkan corak serangan pantas, anda sentiasa mencari cara untuk melakukan serangan balas atau set-piece, kami sentiasa mencuba yang terbaik dan kami akan mengkaji Al Seeb dan melihat bagaimana kami boleh menewaskan mereka,” ujar Bojan Hodak.