Badan penganjur liga bola sepak Malaysia, Malaysian Football League (MFL) sebentar tadi mengumumkan bahawa pihak First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa tiada aksi play off bagi merebut dua slot Liga Super 2023 melibatkan pasukan juara dan naib juara kelab Liga M3 dengan dua pasukan terbawah Liga Premier 2022.

Keputusan badan bebas itu dibuat selepas mereka menyemak laporan berkenaan permohonan pelesenan Kelab Liga Amatur M3 (AFL) yang telah berakhir pada 17 September 2022 di mana hanya tujuh kelab yang membuat permohonan iaitu PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, daripada tujuh kelab tersebut, hanya dua kelab Liga M3 2022, PIB FC dan Harini FT yang menunjukkan perkembangan yang baik.

Bagaimanapun, mereka masih tidak melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

“Berdasarkan peraturan semasa, hanya dua kelab teratas AFL boleh bersaing dalam perlawanan play off. PIB FC menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pertandingan dengan menamatkan saingan sebagai juara namun penyerahan dokumentasi mereka tidak lengkap.”

“Kami berharap PIB mengekalkan kemajuannya di dalam dan di luar padang kerana kami percaya mereka berpotensi untuk membuat perancangan lebih baik untuk musim akan datang.

“Sementara Harini FC pula gagal menduduki kelompok dua terbaik Liga M3 serta tidak dapat melengkapkan kriteria permohonan pelesenan yang diperlukan untuk melayakkan mereka beraksi di play off.”

“Namun begitu, kami tetap menghargai usaha dan komitmen PIB FC dan Harini FT serta kelab lain dalam proses untuk melengkapkan permohonan berkenaan. Ini adalah proses yang sama sekali baru untuk kelab AFL dan kami percaya ia dapat memberikan semua kelab AFL gambaran tentang kriteria yang diperlukan untuk setiap kelab mencapai kemajuan ke Liga Super musim 2024.

“Justeru saya percaya, pihak MFL pasti akan terus membantu kelab-kelab AFL tahun depan untuk melengkapkan proses bagi mendapatkan lesen seterusnya berkembang menjadi kelab profesional tempatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan dengan itu, UiTM FC dan Perak akan turut serta beraksi dalam saingan Liga Super 2023.