Kempen Liga M3 yang senyap sepi selama dua musim akibat wabak COVID-19 bakal kembali pada 12 Februari ini dengan 20 pasukan disahkan akan bersaing bagi merebut dua slot ke Liga Premier 2023 dan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, edisi 2022 menyaksikan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan dijalankan secara timbal balik bagi merebut kedudukan empat pasukan teratas untuk layak ke suku akhir.

Aksi suku akhir dan separuh akhir akan diadakan dengan format perlawanan kalah mati dua pusingan manakala perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 4 September.

Menjelang sepak mula yang hanya tinggal kurang dua minggu sahaja lagi, kesemua pasukan bertanding sedang giat membuat persiapan dalam usaha mereka memburu slot ke Liga Premier 2023.

Kinabalu Jaguar, BRM FC, Real Chukai, Manjung City, Tun Razak City, Tok Janggut Warriors, Respect FC serta beberapa pasukan lagi kelihatan sudah menguji kekuatan pasukan dengan berdepan kelab-kelab dalam saingan Liga Super dan Liga Premier.

Keadaan yang jelas menunjukkan semua pasukan nyata begitu serius untuk menghadapi kempen liga divisyen tiga tanah air itu.

Tinjauan di laman media sosial setiap pasukan juga memperlihatkan ramai bekas pemain yang mempunyai reputasi besar dalam kancah bola sepak tempatan turut menjadi sandaran utama buat pasukan-pasukan bertanding.

Antara yang mencuri tumpuan ialah dua bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd Nazrin Mohd Nawi dan Mohd Hafiz Kamal yang beraksi bersama Respect FC manakala sebuah lagi pasukan dari Perak, BRM FC meletakkan harapan di bahu trio Azmeer Yusof, Mohd Fitri Omar dan Ahmad Fakri Saarani.

Selain itu, Tok Janggut Warriors juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran Muhd Khairul Izuan Rosli dan penyerang berpengalaman, Mohd Nizad Ayub.

Antara pemain berpengalaman lain yang akan mewarnai kempen Liga M3 musim ini ialah Azmizi Azmi dan Azizi Mat Rose (Perlis United), Shahurain Abu Samah dan Yosri Derma Raju (SAINS FC), Azidan Sarudin dan Syed Adney Syed Hussein (Tun Razak City).

Berikut adalah senarai lengkap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga M3 2022:

Kredit Foto: Amateur Football League

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga M3:

Nazrin Nawi Bakal Perkuatkan Pasukan Liga M3, Respect FC?

Sertai BRM FC, Azmeer Yusof Dedahkan Sebab Mahu Kembali Beraksi

Liga M3: CEO Real Chukai Akur Dengan Pembatalan, Sedang Rangka Jalan Alternatif