Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), telahpun bermesyuarat dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak.

Keputusan itu diumumkan kepada pasukan pada hari ini oleh Mohamad Yasin Abdullah melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan MUFC dan SUFC tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023.

Menurut kenyataan rasmi, AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.

Dua pasukan terbabit sudah diberikan ‘talian hayat’ kira-kira seminggu oleh FIB, namun didapati tidak dapat memenuhi dokumentasi menyebabkan mereka disingkirkan dan tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim depan.

Ia bermakna saingan Liga Super 2023 hanya disertai oleh 16 pasukan berbanding 18 pasukan seperti diumumkan oleh MFL ketika penstrukturan semula Liga Malaysia.

“Tahun depan SUFC dan Melaka United tidak mempunyai lesen untuk beraksi di Liga Super 2023. Kita berkomunikasi dengan dua kelab terbabit hari ini, namun keputusan sudah dibuat.

“Sekarang ini, kita akan menetapkan pasukan bertanding kepada 16 pasukan. Sejajar dengan peraturan ditetapkan MFL, dua pasukan ini tidak boleh lagi beraksi di Liga Super,” katanya CEO MFL, Stuart Ramalingam.

SUFC didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila keputusan dibuat DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

Melaka United didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

SUFC dan Melaka United bukanlah pasukan pertama tersingkir daripada Liga Super apabila sebelum ini Felda United dan UKM FC turut menerima nasib sama pada 2020.

Kedua-dua pasukan itu didapati gagal memenuhi syarat lesen kebangsaan dan penswastaan yang dikuatkuasakan bermula 2018.