Masalah tunggakan gaji yang masih belum dilunaskan dalam masa yang telah ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) menyaksikan Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam kempen TM Piala Malaysia 2022.

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut baharu sahaja diumumkan oleh badan penganjur liga bola sepak tanah air itu di laman Facebook rasmi mereka, sebentar tadi.

Melaka United
Kredit Foto: Malaysian Football League

Dilaporkan, pihak Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022.

Namun, sehingga ke hari ini (21 September 2022), Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Selain itu mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.”

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.”

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,”

Berkenaan dengan pasukan gantian slot Melaka untuk TM Piala Malaysia, MFL akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Sementara itu menurut MFL lagi mengenai perkembangan lain berkaitan tunggakan gaji, Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022.

Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga bulan Julai 2022 walaubagaimanapun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023.”