Skuad kebangsaan Thailand mengumumkan barisan pemain yang akan beraksi dalam saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 dan salah seorang pemain bintang mereka iaitu Chanathip Songkrasin tiada dalam senarai panggilan kali ini.

Ketua jurulatih, Alexandre Polking memanggil seramai 30 pemain dan beliau memanggil beberapa pemain senior selain pemain muda yang akan digandingkan bagi membawa cabaran pasukan dalam saingan kelayakan kali ini.

Antara pemain senior yang dipanggil ialah Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan, Sarach Yooyen dan Kawin Thamsatchanan manakala bagi pemain muda diisi oleh Supachok Sarachat, Kritsada Kaman dan Ekanit Panya.

Faktor utama mengapa Chanathip tidak dipanggil dalam senarai kali ini adalah kerana beliau mengalami kecederaan otot ketika beraksi bersama Kawasaki Frontale dalam saingan AFC Champions League (AFC) yang diadakan di Johor baru-baru ini.

Kecederaan yang dialami oleh Chanathip Songkrasin menyebabkan pemain itu terpaksa berehat selama 6 ke 8 minggu serta memerlukan proses pemulihan kecederaan yang lama bagi mengembalikan semula tahap kecergasan beliau.

Ketiadaan Chanathip dilihat tidak memberikan masalah besar kepada Thailand kerana mereka mempunyai pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain Consadole Sapporo itu seperti Supachok, Worachit Kanitsribampen dan juga Ekanit.

Thailand diletakkan dalam kumpulan C bersama Uzbekistan, Maldives dan Sri Lanka dan mereka menjadi salah satu pasukan pilihan dalam kumpulan untuk mara ke saingan yang berlangsung pada 2023 nanti.

Thailand berjaya mara ke temasya edisi 2019 dimana mereka diletakkan dalam kumpulan A bersama tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dua pasukan lain iaitu Bahrain dan India. Skuad Gajah Perang menduduki tangga kedua sekaligus mara ke peringkat 16 pasukan terakhir.

Di peringkat 16 pasukan terakhir, Thailand yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih Piala Dunia Jepun, Akira Nishino gagal untuk meneruskan kemaraan dimana mereka tewas kepada China dengan keputusan 2-1 sekaligus tersingkir daripada kejohanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Park Hang-seo: Siapapun Lawannya, Kami Akan Beraksi Seperti Pendekar, Sedia Untuk Menang

Sukan SEA: Malaysia Nyaris Jadi ‘Lauk’ Kemboja

Alexandré Pölking: Indonesia Atau Vietnam, Kami Tidak Takut