Spekulasi yang mengaitkan Liridon Krasniqi bakal ke India akhirnya terjawab selepas pemain naturalisasi kedua negara itu sah menyertai kelab Hero Liga Super India, Odisha FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi musim 2021/22.

Perkembangan terbaharu mengenai pemain skuad kebangsaan itu telah diumumkan secara rasmi menerusi laman sesawang kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar tersebut, sebentar tadi.

Liridon yang mendapat kerakyatan Malaysia pada 2 Februari 2020 itu sebelum ini telah dipinjamkan Newcastle Jets selama enam bulan dan sempat merasai pengalaman beraksi sembilan perlawanan dalam kancah Liga Australia (A-League).

Ketika mengulas mengenai kehadirannya memperkuatkan Odisha FC, Liridon Krasniqi jelas optimis dengan peluangnya untuk memberikan yang terbaik sepanjang berada di India.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Odisha FC dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan yang menakjubkan di India.”

— Odisha FC (@OdishaFC) August 23, 2021

“Saya berharap dapat menikmati musim yang hebat berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Kiki Ramirez. Saya juga tidak sabar untuk memulakannya dan berjumpa rakan sepasukan di OFC.”

Sementara itu, Kiki Ramirez melihat pemain tengah berusia 29 tahun itu mampu memberikan sumbangan berkesan buat kelab tersebut.

“Liridon akan memberikan karakter, sikap dan intensiti buat pasukan kami. Dia merupakan pemain dengan kemampuan fizikal tinggi dan mempunyai teknik yang cukup baik.”

“Dia merupakan pemain tengah ‘box-to-box’ yang boleh membantu kami dari kedua-dua aspek menyerang dan bertahan serta dia akan memberikan kami tenaga yang diperlukan oleh pasukan ini untuk bersaing dalam keseluruhan 90 minit perlawanan,” tambah Ramirez lagi.

Saingan Hero Liga Super India 2021/21 dijadualkan bakal bermula pada 19 November dimana saingan tersebut menampilkan 11 pasukan bertanding.

Teruskan membaca artikel-artikel lain mengenai Liridon Krasniqi:

https://www.thevocket.com/kejayaan-liridon-peroleh-status-kewarnegaraan-cetus-perdebatan-dalam-kalangan-netizen/?_ga=2.197036331.604629525.1629088622-1696615525.1612733691

Liridon Krasniqi Sah Menjadi Warganegara Malaysia

Liridon Krasniqi Sah Tamat Kontrak Pinjaman Dengan Newcastle Jets

 

Sumber