Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super India selepas tempoh pinjamannya bersama kelab A-League, Newcastle Jets sudah tamat pada 30 Jun lalu.

Sebelum ini, pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail (TMJ) mendedahkan Liridon akan dipinjamkan ke kelab Liga Thailand.

Namun, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan setakat ini tiada tawaran rasmi daripada mana-mana kelab Thailand menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pertama Thai League pada 17 Ogos ini.

Liridon menyertai Newcastle Jets pada 5 Februari lalu bersama seorang lagi pemain dari Indonesia, Syahrian Abimanyu. Bagaimanapun, bekas pemain Kedah itu mempunyai lebih banyak minit permainan berbanding Abimanyu.

Wartawan dari The Times of India, Marcus Mergulhao turut mengesahkan seorang pemain dari Malaysia bakal beraksi dalam saingan Liga Super India bagi mengisi kuota pemain import Asia sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai perpindahan Liridon Krasniqi.

Tinjauan di media sosial mendapati peminat bola sepak India menyebut Kerala Blasters antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon.

Bagaimanapun, Marcus pantas menafikan Liridon akan menyertai Kerala Blasters dan enggan mendedahkan nama kelab yang bakal diwakili oleh pemain kelahiran Kosovo itu.

Tidak kira kelab mana yang bakal disertainya, beliau perlu memburu minit permainan yang banyak untuk mendapatkan kembali prestasi hebatnya seperti dahulu.

Apapun, VOCKET FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Liridon Krasniqi dan pengalaman beraksi di Liga India diharapkan dalam membantu menajamkan jentera tengah Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liridon Krasniqi yang pernah dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini. 

Liridon Krasniqi Lakukan Debut Bersama Newcastle Jets Dalam Saingan A-League Musim 2021

Penyokong Newcastle Jets Mahu Liridon Krasniqi Diberi Banyak Minit Permainan

Liridon Krasniqi Sekali Lagi Disenaraikan Dalam “Matchday Squad” Hadapi Perth Glory Esok