Pemain pertahanan pasukan negara, Dion Cools telah mencapai kata sepakat dengan kelabnya, FC Midtjylland untuk menamatkan kontrak sekaligus beliau dibenarkan untuk mencari pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim 2022/2023.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab dimana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak sedia ada sekaligus membenarkan pemain berusia 26 tahun itu mencari pasukan baharu.

“FC Midtjylland dan Dion Cools telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak sedia ada, jadi pemain berusia 26 tahun itu bebas mencari kelab baharu. Pemain pertahanan Malaysia itu menyertai Midtjylland pada Januari 2020 dari Club Brugge dan telah membuat 53 penampilan. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” dipetik dari laman web rasmi kelab.

Sebelum ini, Dion tidak tersenarai dalam skuad Midtjylland bagi menghadapi saingan Liga Europa (UEL) sekaligus menjadi petanda awal bahawa beliau akan meninggalkan pasukan itu.

Dion kembali ke pangkuan FC Midtjylland setelah menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Belgium, Zulte Waregem selama enam bulan bagi menghadapi baki aksi saingan musim 2021/2022. Dion membantu Zulte kekal dalam saingan divisyen pertama dimana kelab tersebut menamatkan saingan di tangga ke-16 daripada 18 pasukan yang bertanding.

Ketika aksi pra musim, Dion juga tidak beraksi bersama pasukan dimana pengurus pasukan ketika itu, Bo Henriksen mengambil keputusan untuk tidak membawa pemain yang kembali ke kelab setelah menjalani tempoh pinjaman bersama pasukan lain musim lalu.

Sebelum ini, Dion Cools dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana pemilik kelab iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menyatakan bahawa Dion mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi JDT.

“Saya dan Dion mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang menyuarakan hasrat mahu bermain di sini.

“Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.