Pemain pertahanan pasukan negara, Dion Cools tidak tersenarai dalam skuad FC Midtjylland bagi menghadapi saingan Liga Europa (UEL) musim ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad di laman media sosial Twitter dimana Midtjylland menyenaraikan seramai 7 pemain di posisi pertahanan namun pengurus pasukan, Albert Capellas memilih untuk tidak menyenaraikan Dion.

Dion kembali ke pangkuan FC Midtjylland setelah menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Belgium, Zulte Waregem selama enam bulan bagi menghadapi baki aksi saingan musim 2021/2022. Dion membantu Zulte kekal dalam saingan divisyen pertama dimana kelab tersebut menamatkan saingan di tangga ke-16 daripada 18 pasukan yang bertanding.

Ketika aksi pra musim, Dion juga tidak beraksi bersama pasukan dimana pengurus pasukan ketika itu, Bo Henriksen mengambil keputusan untuk tidak membawa pemain yang kembali ke kelab setelah menjalani tempoh pinjaman bersama pasukan lain musim lalu.

Sebelum ini, Dion Cools dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana pemilik kelab iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menyatakan bahawa Dion mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi JDT.

Dion Cools Bakal Sertai Johor Darul Ta’zim Musim Hadapan

“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang menyuarakan hasrat mahu bermain di sini.

“Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.

Ketiadaan Dion dalam skuad FC Midtjylland bagi saingan Liga juara-Juara Eropah memberikan bayangan perpindahan beliau ke JDT musim hadapan bakal menjadi kenyataan sekaligus peminat bakal menyaksikan pemain itu beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, beredar khabar angin di laman media sosial yang mengatakan Brentford bakal mendapatkan khidmat pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pada jendela perpindahan musim panas kali ini ekoran kelab tersebut turut dimiliki oleh pemilik FC Midtjylland yang juga kelab terkini Dion iaitu Matthew Benham.