Terengganu FC (TFC) cemerlang dalam mencalarkan ego Johor Darul Ta’zim selepas berjaya menang 1-0 pada aksi Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Berdepan lawan yang cukup kebal di laman sendiri dilihat langsung tidak menggentarkan skuad bimbingan Nafuzi Zain bagi menampilkan corak permainan bertenaga pada perlawanan ini.

Selain itu, barisan pertahanan TFC juga cukup berdisiplin dalam menyerap tekanan hebat dijelmakan jenteras serangan JDT terutamanya pada lewat separuh masa kedua.

Bergson Da Silva terlebih dahulu memberikan ancaman ke kubu TFC apabila beliau mendapat peluang dalam kawasan penalti susulan situasi sepakan penjuru pada minit ke-23.

Bagaimanapun, percubaan kaki kirinya ketika berhadapan dengan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin gagal menemui sasaran diharapkan penyerang kelahiran Brazil itu.

Berselang dua minit kemudian, Gonzalo Cabrera melakukan gerakan solo yang kemudiannya melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti tetapi Suhaimi tidak berdepan masalah untuk menafikan percubaan tersebut.

TFC yang turut memberikan tekanan buat tuan rumah terlepas peluang terbaik pada minit ke-29 selepas Muhammad Faisal Abdul Halim menuju pantas ke kubu JDT setelah menerima lorongan cantik daripada Makan Konate.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun gagal untuk menewaskan Farizal Marlias yang nyata bersedia menutup ruang bagi menggagalkan usaha hebat dilancarkan itu.

Ketika aksi babak pertama memasuki masa kecederaan, percubaan David Da Silva ketika beliau sudah menewaskan Farizal sekadar singgah di tiang gol.

Pemain muda, Mohamad Hakimi Abdullah muncul wira buat TFC apabila beliau mengambil kesempatan di atas kesilapan pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin sekali gus dengan tenang menolak masuk bola menggunakan ‘outside foot’ untuk memberikan kelebihan buat pasukan pelawat.

Jaringan itu sudah cukup buat Terengganu bagi meleburkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah dan ia juga merupakan kekalahan pertama JDT di Stadium Sultan Ibrahim.