Nasib berbeza dialami dua wakil negara dalam Kejohanan Terbuka Singapura 2023 yang bertaraf Super 750 apabila gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke pusingan kedua manakala Pearly Tan-M. Thinaah pula tersingkir.

Malang menimpa Pearly ketika ketinggalan 12-16 pada set pertama apabila beliau mengalami kecederaan siku kanan hingga membataskannya untuk beraksi seperti kebiasaan.

Apatah lagi ‘smash’ kencang merupakan senjata utama Pearly sewaktu beraksi hingga memberikan banyak masalah kepada lawan.

Tewas set pertrama 13-21, pasangan beregu wanita nombor satu negara itu bangkit untuk meraih kemenangan 21-17 walaupun Pearly kelihatan cukup tidak selesa dengan keadaan sikunya.

Keadaan tersebut dilihat semakin melarat sehingga menyebabkan Pearly mengambil keputusan untuk menarik diri pada kedudukan 9-16 untuk membawa lawan mereka dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan lawan adik beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov.

Walaupun pasangan ranking ke-41 dunia itu memberikan cabaran sengit pada set pertama, Yew Sin-Ee Yi masih mampu meraih kemenangan 21-18.

Set kedua menyaksikan penguasaan lebih baik ditampilkan beregu nombor dua negara itu dengan kemenangan 21-13 sekali gus menempah pertemuan dengan pemenang antara Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan.

Sementara itu, dua lagi wakil negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas juara dunia itu menundukkan He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-16, 21-17 semalam.

Manakala, Wei Chong-Kai Wun yang merupakan naib juara Malaysia Masters 2023 tempoh hari pula menang percuma selepas Mark Lamsfuss menarik diri ekoran kecederaan dialaminya.

Lamsfuss yang bergandingan bersama Marvin Seidel merupakan gandingan kelahiran Jerman.