Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melangkah ke pusingan 16 Kejohanan Malaysia Masters 2023 selepas menundukkan Ren Xiang Yu-Tan Qiang pada aksi yang berlangsung selama 39 minit, sebentar tadi

Mendapat sokongan padu pencinta badminton tanah air Axiata Arena, Bukit Jalil nyata menjadi tonik yang cukup berguna buat pasangan beregu lelaki nombor dua negara itu.

Selain daripada aspek bertahan yang jelas menjadi kekuatan mereka dalam menggagalkan serangan gandingan nombor 19 dunia itu , Yew Sin-Ee Yi turut tampil dengan lebih garang untuk melakukan asakan terhadap wakil dari China tersebut.

Keadaan itu jelas dibuktikan apabila mereka tidak terlalu berdepan masalah untuk menggungguli set pertama dengan kemenangan 21-16.

Namun, aksi lebih mendebarkan pada set berikutnya apabila kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata sehingga kedudukan terikat 18-18.

Yew Sin-Ee Yi yang berada di tangga kelapan ranking dunia itu bagaimanapun lebih tenang untuk mengesahkan kemenangan 21-18.

Kejayaan manis itu merupakan kemenangan kedua yang dilakarkan pasangan negara itu terhadap Xiang Yu-Tan Qiang selepas menundukkan lawan tersebut pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 dengan kemenangan ‘rubber set’.

Menanti Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi di pusingan 16 ialah pasangan dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang menundukkan Ruben Jille-Ties Van Der Lecq (Belanda) dengan kemenangan 21-17, 21-15.