Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Singapura 2023 yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, Kallang sebentar tadi.

Lawan yang berjaya ditundukkan pilihan ketiga kejohanan itu ialah Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia.

Kemenangan itu juga sekali gus berjaya membalas dendam di atas kekalahan Aaron-Wooi Yik kepada pasangan tersebut pada aksi suku akhir Malaysia Masters, penghujung bulan lalu.

Kejayaan itu bagaimanapun seperti dijangka tidak akan berlangsung dengan mudah apabila bekas juara dunia itu tewas 18-21 pada set pertama.

Selepas mendahului 8-7  pada awal set kedua, Aaron dan Wooi Yik tidak memberikan ruang buat lawan tersebut untuk meninggalkan mereka sehingga berjaya meraih kemenangan 21-16.

Aksi di set penentuan lebih mendebarkan apabila Carnando-Marthin bangkit pada lewat permainan walaupun ketinggalan lima mata.

Mereka berupaya mengikat kedudukan 20-20 tetapi Aaron-Wooi Yik lebih tenang untuk menghadapi tekanan tersebut sekali gus mengesahkan kemenangan ‘rubber set’ dengan 22-20.

Ia merupakan kemenangan keenam dilakarkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke atas Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam lapan pertemuan melibatkan kedua-dua pasangan.

Menanti mereka di separuh akhir ialah pasangan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menundukkan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy.

Rekod pertemuan kedua-dua pasangan dilihat memihak Wei Keng-Wang Chang yang menang tiga daripada empat perlawanan tetapi Aaron-Wooi Yik menang pada aksi terakhir mereka dalam kejohanan Indonesia Masters 2023 dengan kemenangan ‘straight set’.