Sebut sahaja tentang Tengku Ahmad Tajuddin bin Tengku Abdul Jalil sudah pasti membuatkan para peminat hoki tanah air mengimbau kembali kemampuan hebatnya dalam usaha untuk merobek gawang pasukan lawan.

Berbekalkan fizikal yang dilihat lebih rendah berbanding pemain lain, Tengku Ahmad Tajuddin bijak menggunakan kelebihan individu, visi menarik dalam mengatur serangan serta kelincahan beliau untuk disesuaikan dengan penyudah tajam dimilikinya.

Sehubungan dengan kemampuanya dalam mencipta jaringan, tidak hairanlah anak kelahiran Kangar itu menjadi antara peledak berbisa berkelas dunia yang pernah dilahirkan dalam lipatan sejarah skuad hoki kebangsaan.

Selain menjadi tunjang kepada jentera serangan skuad kebangsaan sejak membuat penampilan sulung pada usia 19 tahun (2005) hingga 2019, khidmat Tengku turut ditagih kelab luar negara untuk beraksi Hilversum Hockey Club (Belanda), Uddingston Hockey Club dari Scotland dan pasukan dalam saingan liga Oman, Hong Kong dan Bangladesh.

Tengku ketika bersama skuad kebangsaan. Kredit Foto: Hokita

Di sebalik kisah hebat perjalanan kariernya dalam hoki, Tengku pada mulanya lebih memilih untuk mengembangkan bakatnya dalam bola sepak kerana rasa minat mendalam terhadap sukan tersebut.

Pada usia 12 tahun ketika di Sekolah Kebangsaan Sri Perlis, beliau dikatakan mempunyai kemahiran yang lebih baik berbanding rakan senior di bangku sekolah menengah dan beraksi untuk pasukan bawah 15 tahun (B-15).

Malah, keadaan itu bukan sahaja dalam bola sepak tetapi turut dapat disaksikan bagi hoki, bola tampar dan sepak takraw.

Berbekalkan dengan kelebihan tersebut, Tengku Ahmad Tajuddin telah mendapat tawaran Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 1999. Tetapi semuanya tidak berjalan dengan lancar apabila beliau mendedahkan bahawa telah digugurkan daripada skuad projek bola sepak.

Keadaan itu menyebabkan Tengku diberikan pilihan sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau mencari sukan lain sekiranya mahu terus kekal di sekolah tersebut.

Oleh kerana jurulatih pasukan hoki SSBJ pernah melihat aksinya dalam satu pertandingan di Negeri Sembilan sewaktu bersama skuad B-15 Perlis walaupun pada usia 12 tahun serta berkemungkinan jiwanya mungkin sudah lebih ke arah hoki,  Tengku akhirnya memilih sukan tersebut sebagai ‘talian hayat’ buatnya.

Dengan peluang kedua yang diberikan, beliau tidak lagi memandang ke belakang  dalam usaha membuktikan kemampuannya.

Kerja kerasnya membuahkan hasil pada usia 18 tahun [2004] apabila Tengku Ahmad Tajuddin sudah mula memperkuatkan skuad hoki remaja kebangsaan.

Setahun kemudian, beliau yang kini berusia 37 tahun turut menganggotai skuad remaja kebangsaan dalam mengharungi Piala Dunia Remaja 2005 di Rotterdam, Belanda

Pada kejohanan tersebut, beliau berjaya menjaringkan satu gol ketika aksi klasifikasi tempat ke-9/10 bertemu England, namun Malaysia tunduk 2-3 pada perlawanan tersebut.

Tengku dan Sukri Mutalib ketika membimbing pasukan masing-masing. Kredit Foto: Hokita
Itulah titik permulaan karier hebatnya dalam meletakkan nama dalam peta hoki dunia dan cerita kegemilangan selepas itu menjadi kenangan yang pastinya tidak dapat dilupakan.

Meskipun sudah tidak lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan ekoran pembedahan kecederaan lutut pada tahun 2020, Tengku Ahmad Tajuddin masih beraksi dalam saingan Piala Razak 2022 bersama Perlis dan berjaya menjaringkan dua gol.

Segala pengalaman dilaluinya pada ketika ini dicurahkan pula kepada bakat baharu selepas pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dilantik sebagai barisan kejurulatihan pasukan pembangunan kebangsaan pada Februari 2022.

Dalam pada itu, tahun 2022 turut menjadi detik manis dalam karier beliau sebagai jurulatih apabila berjaya membawa DBKL HT muncul juara Divisyen 2 Liga Hoki Remaja TNB serta membantu Selangor muncul naib juara Kejohanan Bawah 16 Tahun Kebangsaan.