Malaysia meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala Dunia Hoki 2023 apabila menundukkan New Zealand 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dicatatkan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan C untuk bertemu pasukan kedudukan ketiga kumpulan D [antara England, India atau Sepanyol] pada peringkat ‘cross-overs’ bagi mengintai saingan suku akhir.

New Zealand bagaimanapun bermula cukup garang dengan menjelmakan serangan pantas ke arah pintu gol skuad negara yang dikawal Muhammad Hafizuddin Othman.

Pada minit ketiga permainan, Hafizuddin bijak mematahkan hantaran lintang cuba dilakukan Kim Kingstone dalam kawasan D dalam usaha mencari rakan sepasukannya.

Faizal Saari memberikan kelebihan buat skuad negara pada minit kesembilan apabila kuisannya selepas menerima lorongan Shello Silverius berjaya membolosi gawang New Zealand.

Kelemahan penyudah ketika situasi pukulan sudut penalti terus menghantui skuad negara apabila lima peluang dimiliki tidak mampu disempurnakan dengan baik anak-anak buah Arul Selvaraj itu.

Kehampaan itu bagaimanapun ditebus oleh Razie pada minit ke-43 selepas pukulan sudut penalti keenam buat skuad negara disempurnakan dengan baik pemain berpengalaman itu.

Tersentak dengan dua gol tersebut, New Zealand tampil dengan taktikal ‘power play’ manakala skuad negara pula hanya bermain dengan sembilan pemain.

Keadaan itu membolehkan pasukan lawan mendapatkan dua gol pantas menerusi jaringan padang menerusi Hayden Phillips pada minit ke-52 dan pukulan sudut penalti disempurnakan Sam Lane berselang seminit kemudian.

Faizal muncul wira buat skuad negara apabila beliau yang menerima umpanan Meor Muhammad Azuan Hasan dengan tenang menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol, Dominic Nixon.
New Zealand cuba bangkit untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi barisan pemain Malaysia cukup berdisiplin untuk melakarkan kemenangan kedua pada edisi kali ini.