Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberi kenyataan mengenai khabar angin yang mengatakan beliau akan kembali menguruskan sebuah pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Jurulatih berusia 53 tahun itu ketika ini bergelar ejen bebas setelah meninggalkan pasukan negara ekoran kegagalan dalam saingan Piala AFF Suzuki awal tahun ini dan beliau digantikan dengan jurulatih dari Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon.

Memetik dari laporan Majoriti, Cheng Hoe menafikan khabar angin tersebut dan menyatakan beliau kini sedang berehat dan banyak meluangkan masa bersama keluarga.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

“Perkara itu tidak sahih pun. Rumours sahaja. Sekarang ini saya hanya berehat dan meluangkan masa dengan keluarga. Dalam masa terdekat pun saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada yang betul-betul serius saya akan fikirkan untuk latih tapi setakat ini tiada lagi,” katanya.

Tan Cheng Hoe sebelum ini dikaitkan dengan pasukan Selangor setelah kelab Lembah Klang itu tidak menampilkan prestasi memberangsangkan di bawah bimbingan ketua jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner.

Peminat Selangor menggesa agar pengurusan pasukan segera menggantikan Michael dengan jurulatih lain dimana mereka menganggap pasukan tidak mengalami perubahan sejak beliau hadir di dalam kelab serta gagal untuk menjadi pencabar dalam saingan Liga Super.

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap masuk ke dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Pada musim 2017, Kedah berjaya memenangi Piala Sumbangsih dimana mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Fandi Ahmad Bakal Jurulatih Baharu Sri Pahang?

Tiket Perlawanan Sabah Menentang JDT Sudah Habis Dijual

Tan Cheng Hoe Bakal Kembali Ke Saingan Liga Malaysia?