Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dikhabarkan bakal membuat kemunculan kembali untuk menguruskan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia musim ini.

Selepas digantikan dengan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon susulan kegagalan pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki awal tahun ini, Cheng Hoe memilih untuk berehat seketika dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dalam negara.

Menurut tinjauan kami di laman media sosial, beredar khabar angin yang mengatakan pasukan yang dikaitkan dengan Cheng Hoe ialah pasukan dari Lembah Klang namun tidak diketahui secara spesifik pasukan mana yang bakal mendapatkan khidmat jurulatih itu.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap masuk dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Pada musim 2017, Kedah berjaya memenangi Piala Sumbangsih dimana mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Mana-mana pasukan yang mengambil khidmat jurulatih berusia 54 tahun itu bakal menerima banyak manfaat khususnya dari segi corak permainan kerana beliau dianggap salah satu jurulatih terbaik dalam negara ketika ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim di sini:

RASMI: Jodoh Brad Maloney Dan Skuad B-23 Negara Berakhir

Kerja Penukaran Rumput Di Stadium Nasional Bukit Jalil Bermula Pada Bulan Mac 2023

Gagal Lunaskan Tunggakan Gaji, Giliran Sarawak United Pula Dikenakan Sekatan Perpindahan