Skuad futsal negara terus menanggung kekalahan dalam temasya Sukan SEA 2021 apabila tunduk 1-7 di tangan Vietnam pada aksi kedua yang berlangsung di Stadium Tertutup Ha Nam, Hanoi sebentar tadi.

Kekalahan tersebut dilihat menyukarkan lagi peluang skuad kendalian Chiew Chun Yong itu untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila selepas ini perlu berhadapan dengan musuh tradisi, Indonesia.

Vietnam yang mendapat sokongan hebat penyokong sendiri bagaimanapun tersentak pada minit kedua selepas ledakan kaki kiri Muhammad Ekmal Shahrin tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Ho Van Y bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

Namun, kelebihan skuad negara itu hanya mampu bertahan selama beberapa saat berikutan jaringan penyamaan dihasilkan Nguyen Minh Tri yang melakukan ‘turning’ cantik kemudiannya disusuli dengan rembatan padu bagi membolosi gawang negara.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain Vietnam untuk mengganas dengan tambahan empat lagi jaringan pada babak pertama menerusi dua gol daripada Nguyen Thinh Phat serta Le Quoc Nam dan Nguyen Manh Dung masing-masing dengan satu gol.

Kredit Foto: FAM

Sama seperti babak kedua ketika bertemu Thailand, barisan negara tampil dengan lebih berdisiplin untuk memperkemaskan aksi untuk merapatkan jurang gol. Bagaimanapun, usaha Khairul Effendy Bahrin dan rakan sepasukannya tidak berupaya untuk mengubah kedudukan.

Malah, skuad negara terpaksa bermain dengan empat pemain susulan kad merah dilayangkan kepada penjaga gol gantian, Azrul Hadee Mohd Taufiq yang menyentuh bola di luar kawasan penalti.

Kelebihan seorang pemain itu digunakan sepenuhnya tuan rumah untuk menambah jaringan keenam menerusi Thinh Phat bagi melengkapkan hatriknya pada perlawanan ini.

Kealpaan ketika melakukan taktikal ‘powerplay’ turut memakan diri buat skuad negara apabila hantaran jauh daripada Van Y terus mencari Minh Tri yang menanduk masuk bola untuk menjadikan kedudukan 7-1.

Dengan keputusan tersebut, skuad futsal negara kini tanpa sebarang mata dan wajib mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia dan Myanmar untuk menghidupkan peluang mereka bagi mendapat sekurang-kurangnya pingat gangsa.