Skuad futsal negara memulakan kempen Sukan SEA 2021 dengan langkah kiri apabila tunduk 2-6 ditangan juara bertahan, Thailand pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Ha Nam, Vietnam sebentar tadi.

Lawan yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Kejohanan Futsal AFF 2022 di Bangkok, bulan lalu tidak menunggu lama untuk berada di hadapan selepas Ronnachai Jungwongsuk mencipta jaringan pada minit pertama.

Berpunca hantaran daripada Kritsada Wongkeao susulan sepakan kedalam, Ronnachai meledakkan rembatan padu yang hanya mampu dipandang pemain negara sekali gus menewaskan penjaga gol, Syawal Sabaruddin.

Berselang lima minit kemudian, Thailand melebarkan kedudukan menerusi satu lagi situasi bola mati dan kali ini giliran Peerapat Kaewwilai pula meletakkan nama selaku penjaring.

Skuad negara yang dilihat kurang bermaya pada separuh masa pertama terus dihukum berikutan kawalan kurang baik daripada Khairul Effendy Bahrin memberikan ruang kepad Kritsada untuk melorongkan bola buat Muhammad Osamanmusa bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit kelapan.

Peerapat menambah jaringan kedua peribadinya ketika permainan memasuki minit ke-16 selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil sepakan kedalam dilakukan Kritsada.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Thailand mengukuhkan lagi kedudukan di minit ke-18 apabila Osamanmusa bijak memintas hantaran Saiful Nizam Mohd Ali dan kemudiannya melorongkan kepada Ronnachai yang tidak dikawal pemain negara untuk aksi babak pertama berakhir dengan kelebihan lima jaringan buat anak buah Carlos Cesar Nunez itu.

Memasuki babak kedua, terdapat perubahan pada corak permainan skuad negara yang lebih tersusun dalam mencipta peluang bagi membolosi gawang Thailand. Bagaimanapun penjaga gol berpengalaman, Katawut Hankampa seringkali menjadi penghalang dengan aksi cemerlang ditampilkannya.

Kecemerlangan beliau terhenti pada minit ke-31 apabila skuad negara berjaya mendapatkan dua jaringan pantas menerusi Muhammad Ekmal Shahrin dan Khairul Effendy bagi merapatkan jurang gol.

Enggan membiarkan skuad negara terus bernafsu memburu jaringan, Peerapat Kaewwilai tidak melepaskan peluang dengan meledakkan hatrik pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti kedua (second spot).

Tugas sukar sekali lagi bakal dihadapi skuad futsal negara apabila akan bertemu tuan rumah, Vietnam pada aksi kedua yang dijadualkan berlangsung pada 14 Mei nanti.