Hanya sedikit kesilapan dilakukan telah meranapkan impian skuad negara untuk ke final Sukan SEA 2021 selepas tunduk 0-1 di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho sebentar tadi.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri menyaksikan Vietnam menguasai permainan sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil dari Syria, Feras Taweel tetapi skuad negara terlebih dahulu mendapat peluang pada minit ke-17 menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Pemain tengah itu melakukan percubaan voli dari luar kawasan penalti ketika pertahanan Vietnam tidak mengeluarkan bola dengan baik, namun penjaga gol, Nguyen Van Toan mudah menangkap kemas rembatan tersebut.

Berselang 10 minit kemudian giliran tuan rumah pula memberikan ancaman apabila Nguyen Tien Linh mendapat lorongan cantik daripada Nham Manh Dung dalam kawasan penalti.

Kredit Foto: FAM

Bagaimanapun, percubaan Tien Linh yang hanya berhadapan dengan penjaga gol skuad negara, Azri Ab Ghani tidak mampu disudahkan dengan baik pemain berusia 24 tahun tersebut.

Tien Linh sekali lagi terlepas peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan apabila rembatannya ketika menerima hantaran lintang Le Van Do pada minit ke-42 diselamatkan Azri dan percubaan susulan cuba dilakukan Manh Dung dipintas pertahanan untuk menyelamatkan keadaan.

Memasuki babak kedua, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan walaupun anak buah Park Hang-seo terus memberikan tekanan dimana barisan pertahanan negara kental bertahan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ketika permainan memasuki minit ke-110, Tien Linh menceriakan kem Vietnam apabila beliau berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Do Hung Dung sekali gus jaringan tersebut membawa mereka ke perlawanan akhir.

Meskipun tewas, kekentalan yang ditampilkan oleh anak buah Brad Maloney ketika bertahan pada perlawanan malam ini sewajarnya mendapat pujian para penyokong bola sepak negara.

Namun, jentera tengah dan serangan perlu lebih proaktif dalam merencana peluang pada penentuan tempat ketiga nanti kerana para pemain kelihatan jelas begitu ketandusan idea untuk mendapatkan jaringan.