Ketua jurulatih Vietnam B-23 tahun, Park Hang-seo mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan fikiran sebelum bertemu Malaysia pada perlawanan peringkat separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2021.

Hang-seo memberikan cuti kepada para pemain dan pegawai pasukan meskipun akan menghadapi Malaysia pada Khamis ini dan beliau memanfaatkan waktu yang ada untuk menenangkan fikiran dengan pergi memancing memandangkan temasya kali ini diadakan di Vietnam.

Park Hang-seo
Park Hang-seo

Memetik dari laporan Genpi, Hang-seo pada awalnya berjalan-jalan di sekitar Taman Van Lang seorang diri tanpa ditemani oleh pegawai mahupun staf kejurulatihan pasukan.

Jurulatih berusia 64 tahun itu kemudiannya memutuskan untuk memancing setelah melihat masyarakat setempat yang berada di taman tersebut melakukan aktiviti itu. Hang-seo kemudiannya kembali ke hotel untuk berjumpa dengan pemain bagi membincangkan mengenai strategi untuk berdepan Malaysia.

Sebagai persiapan bertemu Malaysia, Park Hang-seo dilaporkan tidak memberikan sebarang tekanan kepada anak-anak buahnya ketika sesi latihan dimana para pemain hanya menjalani latihan ringan memandangkan Golden Star Warriors mempunyai rekod bersih ke atas Malaysia selama berada di bawah bimbingannya.

Perlawanan peringkat separuh akhir ini menjadi peluang untuk pasukan negara menamatkan rekod tanpa menang ke atas Vietnam dalam 8 perlawanan yang dihadapi dimana sebelum ini, pasukan lawan memiliki rekod 6 kemenangan dan 2 seri, baik perlawanan melibatkan skuad B-23 tahun mahupun pasukan senior.

Vietnam layak ke peringkat separuh akhir sebagai juara kumpulan A dimana mereka mencatat tiga kemenangan dan satu seri manakala Malaysia muncul sebagai naib juara kumpulan B di belakang Thailand dengan mencatat dua kemenangan dan dua seri. Satu lagi pertemuan separuh akhir akan melibatkan Thailand menentang Indonesia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Peminat Persoal Keputusan Kim Pan-gon Panggil Guilherme De Paula

Thailand Umum Skuad Hadapi Kelayakan Piala Asia 2023, Tiada Chanathip Songkrasin

TMJ Ajak Penyokong JDT Penuhi Stadium Untuk Aksi Liga Super Lawan Sri Pahang