Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney mahu Malaysia muncul sebagai juara kumpulan B dalam temasya Sukan SEA edisi kali ini.

Pasukan negara akan menghadapi Kemboja pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan kemenangan pada aksi hari ini akan membolehkan Harimau Malaya muncul sebagai juara kumpulan B.

Berdepan Kemboja, Brad telah membuat pemerhatian dan beliau berpendapat skuad bimbingan bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda itu tampil dengan baik meskipun hanya mencatat satu kemenangan sebelum ini.

“Daripada memberikan fokus kepada pasukan Kemboja, kami patut beraksi seperti biasa. Sudah pasti sasarannya ialah menang dan muncul sebagai juara kumpulan,” kata Brad Maloney.

Pasukan negara mengesahkan kemaraan ke separuh akhir setelah seri 2-2 ketika menentang Singapura dan Thailand berjaya menewaskan Kemboja dengan keputusan 5-0.

Pemain pertahanan Malaysia, Muhammad Faiz Amer Runnizar menjadi wira negara apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Satu lagi slot menjadi rebutan antara dua pasukan iaitu Thailand dan Kemboja namun skuad kendalian Alexandre Polking itu mempunyai kelebihan ke atas Kemboja.

Untuk mara ke separuh akhir, Thailand hanya perlu mencatat keputusan seri ketika berdepan Laos. Sekiranya tewas terhadap Laos, Thailand masih berpeluang untuk mara sekiranya tidak tewas dengan lebih daripada lima jaringan.

Thailand dan Malaysia berjaya memperbaiki prestasi buruk ketika beraksi dalam temasya edisi 2019 dimana kedua-dua pasukan tersingkir di peringkat kumpulan.

Malaysia yang ketika itu berada dalam kumpulan A hanya mampu menduduki tempat keempat manakala Indonesia yang berada dalam kumpulan B menduduki tangga ketiga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Sukan SEA 2021: Skuad Futsal Negara Terus Hampa, Terkulai Layu Di Tangan Vietnam

Sukan SEA 2021: Tandukan Faiz Amer Selamatkan Malaysia Daripada Alami Kekalahan Kepada Singapura

Sabah Pasukan Pertama Tempah Tiket Ke Suku Akhir Piala FA 2022