Tandukan pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar menyelamatkan maruah skuad negara selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Singapura pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Thien Truong, sebentar tadi.

Masih segar dua kemenangan awal ke atas Thailand dan Kemboja, anak buah Brad Maloney bermula dengan baik apabila Luqman Hakim Shamsuddin membuka tirai jaringan seawal minit keempat.

Berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Singapura, Harhys Stewart yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri memberikan ruang buat Mukhairi Ajmal Mahadi melakukan hantaran kepada Luqman.

Penyerang muda yang berkelana di Belgium tersebut tidak berdepan masalah untuk melakukan percubaan dalam kawasan penalti sekali gus menewaskan penjaga gol Singapura, Zaiful Abdullah.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya bersifat sementara selepas ledakan dari luar kawasan penalti oleh Muhammad Shah Shahiran gagal diselamatkan Azri Ghani berselang tiga minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara mendapat dua peluang terbaik menerusi Luqman Hakim dan Ahmad Danial Asri tetapi Zaiful Abdullah lebih cemerlang di gawangnya untuk menafikan percubaan tersebut.

Luqman Hakim terus ledakkan jaringan. Kredit Foto: FAM

Azfar Fikri turut hampa sebaik sahaja beliau dimasukkan pada awal babak kedua selepas tandukannya susulan sepakan penjuru Mukhairi Ajmal sekadar singgah di tiang gol.

Anak buah Nazri Nasir yang kadangkala melakukan serangan balas melonjak kegembiraan pada minit ke-78 apabila sepakan percuma Shah Shahiran terus mencari Harhys yang tidak dikawal.

Percubaan awal pemain tersebut pada mulanya dinafikan Azri Ghani, namun beliau tidak melepaskan peluang kedua untuk memberikan kelebihan buat Singapura.

Faiz Amer Runnizar menyelamatkan maruah skuad negara daripada mengalami kekalahan selepas tandukannya hasil sepakan penjuru Nik Akif Syahiran berjaya membolosi Zaiful pada minit ke-82.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad negara terus berada di tangga teratas dengan tujuh mata, dua mata di hadapan Singapura yang sudah menamatkan semua empat perlawanan.

Thailand dan Kemboja yang masih kekurangan dua perlawanan mengumpul tiga mata manakala Laos di tangga terakhir sekadar dengan satu mata dikumpul.

Skuad negara hanya sebelah kaki untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir sekiranya Thailand berjaya menundukkan Kemboja, malam ini.