Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menganggap kelemahan daripada aspek hantaran bola perlu diperbaiki segera untuk bangkit semula selepas tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman FC, kelmarin.

Sudah tentu, ia bukan keputusan yang menggembirakan pengendali dari Croatia ini apabila tewas pada minit-minit terakhir sekali gus memberi tiga mata kepada pasukan tuan rumah di Stadium Darul Aman.

Baginya, barisan pemain masih perlu meningkatkan kualiti hantaran bola terutamanya di sekitar kotak penalti untuk mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Namun, beliau enggan menyalahkan barisan pemain sepenuhnya kerana yang penting adalah untuk segera mencari solusi kepada kelemahan yang ada dalam memastikan tiga mata pertama dapat diperoleh dalam perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu apabila kita kalah seperti itu, moral pemain menurun tetapi inilah tugas saya sebagai jurulatih dan pemain profesional lain untuk pastikan kita dapat bangkit.

“Ada sesetengah situasi di mana kita sepatutnya lebih tahu melakukan hantaran yang tepat dan kita perlu ada kualiti dalam menghantar bola dengan baik terutamanya dalam kotak penalti atau di sekitarnya.

“Tapi saya tidak mahu mengeluh sangat mengenai pemain-pemain saya hanya disebabkan satu kesalahan yang membuatkan kita tewas malam ini (kelmarin) dan kita kena tahu macam mana untuk melakukan penyudah yang lebih baik selepas ini”, jelas Tomislav Steinbruckner.

Terengganu bakal berdepan satu lagi tugas sukar pada Ahad nanti apabila dijadualkan bertemu Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.