Pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA FC), Fadzrul Danel muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan di minit akhir perlawanan sekaligus membantu pasukannya mengutip 3 mata penuh ketika aksi Liga Super 2023 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman.

Kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati sejak awal minit permainan untuk mengelakkan sebarang kesilapan mudah.

Pemain naturalisasi, Andrew Lee Tuck memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 15 namun percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan pasukan pelawat dan peluang terbaik mereka hanyalah menerusi sepakan percuma Sony Norde yang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Perlawanan menjadi lebih rancak di separuh masa kedua walaupun bermula agak lewat disebabkan oleh masalah lampu limpah yang terpadam di Stadium Darul Aman.

Terengganu yang dibimbing Tomislav Steinbruckner bangkit mengatur serangan berbahaya selepas kemasukan penyerang import Thailand, Adisak Kraisorn.

Malah, Adisak juga nyaris menjaringkan gol pertama dalam Liga Malaysia musim ini namun percubaannya berjaya dinafikan oleh penjaga gol Kedah, Kalamullah Al Hafiz pada minit ke 54.

Memasuki 10 minit terakhir, pengendali Kedah, Nafuzi Zain melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan penyerang import, Jonathan Balotelli untuk memberikan sedikit tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Percaturan itu tampak membuahkan hasil apabila Balotelli hampir menjaringkan gol pada minit ke 80 tetapi rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Suhaimi.

Ketika perlawanan seolah-olah bakal berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, pemain pertahanan import Terengganu, Sardor Kulmatov membuat kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga memberi ruang kepada Kedah untuk melakukan serangan balas.

Tindakan pemain Uzbekistan itu menghantar bola kepada penjaga gol mengundang padah apabila penyerang Kedah, Willian Lira mengambil kesempatan merampas bola tersebut sekaligus memberi peluang kepada Fazdrul Danel menyudahkan gol kemenangan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus meletakkan Kedah di tangga ketiga liga dengan enam mata manakala Terengganu yang tewas dua kali berturut-turut kini berada di kedudukan tercorot liga.