Perlawanan kedua kempen Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung pada Selasa dan semalam memperlihatkan corak permainan menarik ditampilkan ketika Terengganu FC (TFC) melayani kunjungan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Berkesudahan dengan kemenangan 3-1 memihak tuan rumah, perlawanan tersebut disifatkan oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air sebagai aksi yang begitu berkualiti diperagakan kedua-dua pasukan.

Kemenangan itu juga menyaksikan TFC berkongsi enam mata penuh bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana skuad bimbingan Benjamin Mora itu berjaya menundukkan Penang FC 2-0.

Selain itu, tiga pasukan berjaya meraih kemenangan pertama pada musim ini apabila Kedah menundukkan Sabah 2-0, keputusan sama dicatatkan Perak ketika menundukkan Seri Pahang di Stadium Darul Makmur dan Kuala Lumpur menang 1-0 ke atas UiTM FC.

Manakala, perlawanan yang penuh dengan kontroversi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di antara Petaling Jaya (PJ) City dan Melaka United berkesudahan dengan terikat 2-2.

Seperti perlawanan pertama tempoh hari, kami bawakan kepada anda antara statistik atau fakta menarik daripada perlawanan kedua ini.

Peningkatan jaringan dicatatkan

Terdapat peningkatan tiga jaringan melebihi jumlah 12 gol yang terhasil pada perlawanan pertama, minggu lalu.

Jaringan terbanyak yang dihasilkan dalam satu-satu perlawanan ialah sebanyak empat gol pada pertemuan TFC menentang Selangor (3-1) dan juga PJ City menentang Melaka United (2-2).

Tiga perlawanan berkesudahan dengan keputusan 2-0 menyaksikan kemenangan buat JDT, Kedah dan Perak manakala perlawanan Kuala Lumpur (KL City) dan UiTM FC menjadi satu-satunya aksi yang berakhir dengan hanya satu jaringan dihasilkan.

Pemain tempatan terus pamer keupayaan sebenar

Buat dua perlawanan berturut-turut para pemain tempatan membuktikan bahawa mereka mempunyai kualiti hebat dalam merobek gawang pasukan lawan.

Hal ini kerana lapan gol berjaya dihasilkan termasuk dua gol dicipta oleh pemain kacukan, Darren Lok yang sekali gus menamatkan penantian panjang jaringan buatnya.

Selain Darren, antara pemain tempatan yang meletakkan nama selaku penjaring ialah Rahmat Makasuf, Mohamad Hakimi Abdullah, S. Kumaahran, Faris Shah Rosli [disahkan oleh MFL], serta duo pemain sayap Perak, J. Partiban dan Farhan Roslan.

Enam jaringan pula dihasilkan oleh pemain import menerusi Jordan Mintah, Tchetche Kipre, Kpah Sherman, Leandro Velasquez, Fernando Rodriguez dan Dominique Da Sylva.

Sementara itu satu jaringan sendiri dicipta apabila pemain pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni tertampan bola ke dalam gawangnya sendiri dalam usaha beliau untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dilakukan Ahmad Danial Ahmad Asri.

Impak berkesan daripada Kumaahran dan Hakimi

Dua pemain ini terus membuktikan kualiti hebat dimiliki apabila berjaya menjadi pemain yang menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan Liga Super pada ketika ini.

Hakimi memainkan peranan sebagai ‘supersub’ dengan cukup baik setelah menghasilkan jaringan pada masa kecederaan.

Sudah pasti beliau akan menjadi senjata utama buat Nafuzi Zain ketika pasukannya memerlukan jaringan di minit-minit akhir perlawanan. Beliau turut membuktikannya pada aksi minggu lalu apabila menjadi wira TFC pada minit ke-88.

Sementara itu, Kumaahran pula kelihatan cukup serasi bersama Sony Norde dimana buat kali kedua penyerang import itu ‘menyalurkan bantuan’ berkesan dalam membantunya menjaringkan gol.

Statistik penghasilan jaringan 

Perlawanan kedua memperlihatkan tujuh jaringan dihasilkan menerusi kaki kanan dan empat gol lagi menggunakan kaki kiri.

Sementara itu, jaringan Jordan Mintah, S. Kumaahran dan Faris Shah Rosli pula hadir menerusi tandukan.

Daripada keseluruhan 15 jaringan itu termasuk gol sendiri Shahrul Nizam, hanya rembatan padu daripada Darren Lok dan Dominique Da Sylva sahaja yang terhasil daripada luar kawasan penalti.

Selebihnya percubaan dalam kawasan penalti termasuk dua sepakan penalti menerusi Leandro Velasquez dan Darren Lok.

Selain itu, JDT dan Perak menjadi pasukan yang masih belum dibolosi selepas mengharungi dua perlawanan dimana gawang mereka dikawal oleh Farizal Marlias dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Berikut adalah senarai penuh penjaring gol selepas berakhir dua perlawanan Liga Super 2021:

Darren Lok (PJ City FC), S. Kumaahran (Melaka United), Mohamad Hakimi Abdullah (TFC) & Oliver Buff (Selangor) – 2 Gol

Leandro Velasquez, Fernando Rodriguez, Safawi Rasid, Natxo Insa (JDT), Jordan Mintah, Rahmat Makasuf, David Da Silva (TFC), J. Partiban, Farhan Roslan (Perak), Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Selangor), Tchetche Kipre, Kpah Sherman (Kedah), David Rowley (Penang FC), Dominique Da Sylva (KL City FC), Faris Shah Rosli (Melaka United), Mohd Fauzi Abdul Latif (UiTM FC), Hamran Peter (Sabah) & Nor Azam Azih (Sri Pahang) – 1 Gol

Gol sendiri – Shahrul Nizam Ros Hasni (TFC) – 1 Gol

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Statistik Ringkas Aksi Minggu Pertama Liga Super 2021

AFC Tetapkan Tarikh Baki Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022

Stadium Sultan Ibrahim Rangkul Anugerah ‘StadiumOfTheYear’ Undian Awam, Tempat Ke-5 Bagi Undian Juri Pakar Arkitek