Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kempen Liga Super 2021 yang membuka tirainya pada Jumaat lalu menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Sumbangsih selepas berjaya menundukkan seteru utama, Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Selangor yang menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Kelana Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang ‘home’ bermula dengan baik setelah menewaskan Sri Pahang dengan keputusan 3-1 manakala jaringan tunggal David Rowley membantu Penang FC mengenepikan cabaran Kuala Lumpur City di Stadium Bandaraya.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan pada separuh masa pertama untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC manakala Melaka United dan Sabah berkongsi mata selepas seri 1-1.

Aksi terakhir yang berlangsung pada Ahad dimana menemukan Perak dan Petaling Jaya (PJ) City di Ipoh sekadar berkesudahan tanpa jaringan.

Meskipun malam ini bakal berlangsungnya aksi kedua tetapi terdapat fakta menarik yang dapat dikongsikan daripada perlawanan pembukaan, hujung  minggu lalu.

Oliver Buff dan Makan Konate curi tumpuan

Tonggak import Selangor, Oliver Buff mencuri tumpuan apabila pemain kelahiran Switzerland itu berjaya meledakkan dua jaringan dalam membantu skuad gergasi merah menundukkan Sri Pahang 3-1.

Sementara itu di Stadium UiTM, meskipun Makan Konate gagal menyumbangkan sebarang jaringan buat TFC tetapi dua bantuan menarik yang dijelmakannya dalam membantu jaringan David Da Silva dan Mohamad Hakimi Abdullah menjadi isyarat jelas beliau mampu menjadi tunjang kekuatan kelab tersebut musim ini.

Tiga jaringan luar kawasan penalti diledakkan

Daripada keseluruhan 12 jaringan yang terhasil pada aksi minggu pertama, tiga daripadanya terhasil menerusi rembatan padu dari luar kawasan penalti.

Natxo Insa melepaskan percubaan jarak jauh pada minit ke-67 setelah menerima hantaran ke belakang dari Fernando Rodriguez yang gagal dihalang penjaga gol KDA FC, Shahril Saa’ri.

Dua lagi gol jarak jauh terhasil pada aksi Selangor bertemu Sri Pahang apabila Buff membuka tirai jaringan pada penghujung separuh masa pertama dan Nor Azam Azih menyempurnakan sepakan percuma di minit ke-69.

Jaringan Nor Azam itu juga menjadi satu-satunya jaringan menerusi sepakan percuma yang berjaya dihasilkan pada minggu pertama.

Statistik penghasilan jaringan

Tujuh daripada jumlah keseluruhan gol Liga Super 2021 minggu pertama yang dihasilkan adalah menggunakan kaki kanan, empat kaki kiri dan jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi merupakan satu-satunya terhasil menerusi tandukan.

Selain itu, tujuh pemain tempatan [tidak termasuk dua pemain kacukan] berjaya mencetak nama selaku penjaring dan baki tiga jaringan lagi dihasilkan oleh dua pemain import.

Lima jaringan hadir pada separuh masa pertama manakala tujuh gol lagi pada aksi di babak kedua.

Berikut adalah senarai penuh penjaring gol pada perlawanan minggu lalu:

1) Oliver Buff (Selangor) – 2 Gol

2) Safawi Rasid (JDT)

3) Natxo Insa (JDT)

4) David Rowley (Penang FC)

5) Mohd Fauzi Abdul Latif (UiTM FC)

6) David Da Silva (TFC)

7) Mohamad Hakimi Abdullah (TFC)

8) Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Selangor)

9) Nor Azam Azih (Sri Pahang)

10) Hamran Peter (Sabah)

11) S. Kumaahran (Melaka United)

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Liga M3: Tenaga Berpengalaman Mantapkan MNY FC

Liga M3: Bakat Muda Orang Asli Curi Tumpuan Dalam Sesi Pemilihan Pemain MNY FC

Ratchaburi Mitr Phol Peroleh Slot Automatik Ke Saingan AFC Champions League 2021

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group