Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) memperolehi kemenangan yang bergaya dalam perlawanan pertama Liga Super 2021 selepas menewaskan Sri Pahang dengan jaringan 3-1 di Stadium MBPJ sebentar tadi.

Biarpun terpaksa beraksi tanpa kelibat kapten pasukan, Brendan Gan yang mengalami kecederaan namun situasi itu tidak menghalang skuad kendalian Karsten Neitzel untuk menampilkan aksi terbaik dalam keadaan hujan lebat.

Malah, sebaik sahaja pengadil perlawanan meniup wisel sepak mula, penjaga gol Pahang, Helmi Eliza terus diuji dengan beberapa percubaan berbahaya daripada Ifedayo Olusegun dan Sean Eugene Selvaraj seawal 5 minit perlawanan.

EvzlY0yU8AIFiVZ

FOTO: MFL

Penjaring terbanyak tempatan Liga Super musim lepas, Shahrel Fikri juga hampir mencetak nama sebagai penjaring pertama pada minit ke 27 namun rembatannya terkena palang. Shahrel juga mempunyai peluang keemasan pada minit ke 37 tetapi gagal menemui sasaran.

Pahang cuba bangkit mengatur serangan namun mereka berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Selangor yang dikawal ketat oleh Tim Heubach.

Ditambah pula dengan keadaan padang yang licin akibat hujan lebat telah menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Selain itu, tiada langsung percubaan berbahaya daripada jentera serangan Pahang yang diketuai oleh Bokashivili Yevhen dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke 32 menerusi tandukan Herold Goulon.

Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, kedudukan berubah kepada 1-0 apabila Selangor memperolehi jaringan pertama melalui rembatan cantik Oliver Buff dari luar kotak penalti yang menewaskan Helmi Eliza.

Memasuki separuh masa kedua, Selangor bermula dengan garang dan terus mengandakan asakan untuk mencari satu lagi jaringan. Helmi Eliza juga sempat menyelamatkan dua percubaan berbahaya daripada Tim Heubach pada minit ke 50 dan Halim Saari pada minit ke 53.

Usaha Selangor akhirnya membuahkan hasil yang lumayan apabila Shahril Fikri berjaya menambah gol kedua apabila bola tandukannya gagal ditangkap kemas oleh Helmi Eliza pada minit ke 54. Ini adalah jaringan keempat Shahrel dalam 4 pertemuan terakhir menentang Pahang.

EvzlY00VEAEpqA_

FOTO: MFL

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain Pahang untuk bangkit mencari gol pertama mereka musim ini. Percaturan Thomas Dooley memasukkan dua pemain dari bangku simpanan pada minit ke 55 mula mengubah corak serangan Pahang.

Mereka juga berjaya manfaatkan sepakan percuma pada minit ke 69 menerusi rembatan Azam Azih yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan lalu menjadikan kedudukan berubah kepada 2-1.

Jaringan itu membangkitkan semangat pemain Pahang untuk terus mencari gol penyamaan dan Herold Goulon memperolehi peluang terbaik pada minit ke 80 namun tandukannya tersasar.

Keghairahan Pahang mengatur serangan ke kubu Selangor kemudian dihukum menerusi serangan balas yang menghasilkan gol ketiga menerusi Oliver Buff pada minit ke 90+3 sekaligus memastikan Selangor mengutip 3 mata penuh malam ini.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group