Terengganu membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi kedua pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022 selepas berjaya mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Sri Pahang pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kpah Sherman jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini selepas beliau meledakkan hatrik dalam membantu skuad kendalian Nafuzi Zain itu melakarkan kemenangan penting.

Turun ke gelanggang lawan dengan barisan terkuat, Terengganu menampilkan corak permainan tersusun sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob.

Ia jelas dibuktikan apabila Kpah Sherman dengan tenang berjaya membuka tirai jaringan ketika permainan baharu sahaja memasuki saat ke-47.

Berpunca daripada tolakan kebelakang yang lemah dilakukan pemain pertahanan, Sherzod Fayziev Naimovich memberikan peluang buat penyerang kelahiran Liberia itu untuk menolak masuk bola menewaskan Mamadou Samassa di gawang Sri Pahang.

Tidak cukup dengan jaringan pantas tersebut, Terengganu menambah jaringan kedua berselang dua minit kemudian menerusi Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim setelah beliau menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti susulan ‘cutback’ dilakukan Mohamad Faisal Abdul Halim.

Memasuki minit ke-43, tuan rumah berupaya merapatkan defisit jaringan hasil gol yang disumbangkan Andres Steven Rodriguez Ossa bagi memberikan sedikit harapan untuk melihat kebangkitan skuad tok gajah.

Namun, Terengganu tampil dengan cukup cemerlang sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung walaupun beraksi dalam keadaan padang basah akibat hujan apabila mereka menambah dua jaringan pantas menerusi Faisal Halim dan Sherman pada minit ke-49 dan 52.

Anak buah Dollah Salleh beberapa kali cuba untuk menambah jaringan tetapi penjaga gol Terengganu, Suhaimi Hussin lebih tangkas dalam menafikan percubaan berbahaya dihadapinya.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan, Kpah Sherman membuktikan kemampuan beliau dengan menyudahkan peluang terbaik di sudut sukar untuk menjadikan keputusan 5-1 malah turut melengkapkan hatrik buatnya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 1 November nanti.

Sementara itu dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan juara bertahan, KL City FC menundukkan PDRM FC 3-0 menerusi dua jaringan Romel Morales dan satu gol daripada Paulo Josue.