Pemain sayap kiri Sri Pahang FC, Muhd Baqiuddin Shamsudin hanya mahu memastikan pasukan mampu mendapatkan bekalan selesa di laman sendiri berdepan Terengganu FC untuk aksi pertama pusingan 16 TM Piala Malaysia, malam ini.

Ini kerana dia percaya perlawanan yang lebih sukar akan dihadapi mereka untuk aksi kedua nanti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin memandangkan Terengganu dilihat sentiasa bernasib baik beraksi di laman sendiri.

Meskipun Baqiuddin merasakan anak buah Nafuzi Zain tidak akan melepaskan peluang menjaringkan gol, tetapi Pahang juga perlu lebih bijak untuk memastikan pasukan mampu memburu seberapa banyak jaringan untuk memberi tekanan kepada lawan.

Apatah lagi, dia sedar peluang adalah 50-50 terutamanya melihat kepada taktikal Nafuzi yang sukar dijangka sekali gus boleh menghukum pasukan sekiranya leka.

“Peluang pasukan saya nampak macam 50-50 sebab Terengganu adalah pasukan yang konsisten dalam liga selain dah layak ke Piala AFC.

“Mereka memang pasukan kuat, tetapi Pahang juga sudah dalam keadaan baik pada penghujung liga dan saya memang berharap kita dapat buat yang terbaik kali ini.

“Lagi-lagi sekarang kita dah tak ambil kira kelebihan gol tempat lawan, jadi ini lebih mudah dan tugas pasukan adalah memburu seberapa banyak gol.

Baqiuddin
Kredit Foto: Malaysian Football League

“Jadi saya memang harap dekat Stadium Darul Makmur, kita dapat jaringan lebih banyak dan kita memang perlukan bekalan selesa”, jelasnya.

Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun ini menyifatkan tonggak utama lawan, Faisal Abd Halim sememangnya antara yang perlu dikawal ketat kali ini.

Kelincahannya sentiasa menjadi ancaman dan Baqiuddin sedar rakan sepasukan lain akan sentiasa memastikan pergerakan Faisal dikunci rapat.

“Siapa je tak tahu Faisal beraksi macam mana, dan dia memang pemain utama yang diharapkan dalam pasukan.

“Jadi, memang dia akan sentiasa diawasi dan bukan dia sahaja, pemain lain juga kita kena jaga-jaga.

“Tapi kalau untuk Piala Malaysia, kita sasarkan kalau ada rezeki mana tahu boleh ke final sebab sekarang semua dalam momentum yang baik untuk memberikan sesuatu dalam aksi nanti”, jelasnya.

Dua perlawanan akan berlangsung pada malam ini termasuklah PDRM FC dan Kuala Lumpur City FC.