Skuad negara jelas begitu bergelut untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan, sebentar tadi selepas tunduk 0-4 pada aksi yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, Amman.

Turun dengan beberapa muka berbeza berbanding kebiasaan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat cukup sukar untuk memberikan tentangan buat pasukan tuan rumah.

Malah, kesilapan-kesilapan mudah terus menghantui barisan pemain pertahanan sehingga menyebabkan pasukan lawan berjaya mendapatkan jaringan.

Cerita berbeza pula buat Jordan yang dalam persiapan untuk menghadapi saingan FIFA Piala Arab 2021 pada penghujung November nanti apabila anak buah Adnan Hamad itu mempamerkan corak permainan meyakinkan dengan mendominasi aksi sejak dari wisel permulaan ditiupkan.

Jordan mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-29 tetapi percubaan ‘placing’ dilakukan Mousa Al-Taamari ditepis keluar penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid.

Kehampaan itu ditebus empat minit kemudian apabila Ali Olwan menyempurnakan peluang terhidang susulan hantaran lintang daripada Ehsan Haddad yang berpunca daripada kesilapan Ariff Farhan Md Isa.

Situasi yang sama hampir menghukum skuad negara pada minit ke-38 tetapi kali ini Khairulazhan lebih bersedia untuk menafikan percubaan jarak dekat Baha Faisal.

Jordan kemudiannya berjaya melebarkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-42 selepas Odai Al-Saify mudah menolak masuk bola berikutan salah faham melibatkan Khairulazhan dan Aidil Zafuan Abd Radzak dalam kawasan penalti.

Kelebihan dua jaringan itu jelas masih belum cukup buat Jordan yang menambah jaringan ketiga hanya dua minit selepas aksi separuh masa kedua bermula.

Jaringan tersebut juga terhasil susulan kesilapan pemain negara setelah tandukan ke belakang dilakukan Irfan Zakaria dapat kepada Ali Olwan yang sekali gus meledakkan rembatan voli untuk menewaskan Khairulazhan.

Belum sempat skuad negara memperkemaskan aksi, Jordan terus membuktikan kehebatan dengan jaringan keempat hasil serangan balas pantas yang membolehkan Ali Olwan melengkapkan hatriknya dengan melakukan percubaan membolosi celah kaki Khairulazhan pada minit ke-49.

Kemasukan Mukhairi Ajmal dan Hakimi Abdullah menerbitkan harapan dengan corak permainan yang sedikit tersusun tetapi keputusan empat gol tanpa balas itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan pengajaran berguna buat barisan pemain negara menjelang pertemuan menentang Uzbekistan, Sabtu ini.