Dua kesilapan mudah dilakukan menyaksikan skuad negara tewas 0-2 di tangan Bahrain pada perlawanan persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bahrain, sebentar tadi.

Meskipun gagal meraih kemenangan pada perlawanan ini, masih terdapat perkara positif ditampilkan barisan pemain negara dengan corak permainan baik dan tersusun terutamanya pada separuh masa pertama.

Pemain sayap kanan, Matthew Davies terlebih dahulu menguji kubu pasukan tuan rumah seawal minit kesembilan apabila beliau berjaya melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti bagi melepasi kawalan dua pertahanan Bahrain.

Bagaimanapun, percubaan leret dilepaskannya pemain kelahiran Perth, Australia itu mudah ditangkap penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfalla

Aksi kemudiannya kelihatan lebih didominasi skuad kendalian Helio Sousa itu yang mendapat peluang terbaik pada minit ke-21 menerusi penyerang utama, Mahdi Abduljabbar.

Pemain berusia 30 tahun itu mendapat umpanan cantik daripada Sayed Deaya Saeed dari sebelah kanan pintu gol negara tapi percubaannya berjaya dinafikan Farizal Marlias.

Abduljabbar berjaya membolosi gawang skuad negara berselang lapan minit kemudian berpunca daripada satu serangan balas pantas tetapi jaringan tersebut dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Penyerang Manama Club itu terus menjadi masalah buat pertahanan negara setelah beliau dikasari oleh Irfan Zakaria sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat Bahrain.

Abduljabbar yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk meletakkan Bahrain di hadapan pada minit ke-41.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia cuba mendapatkan peluang mengikat kembali kedudukan ketika aksi memasuki masa kecederaan babak pertama tetapi tandukan Syafiq Ahmad ketika beliau tidak dikawal ketika situasi bola udara sekadar melewati palang gol.

Malaysia sekali lagi dihukum dengan kesilapan mudah pada minit ke-61 apabila tolakan ke belakang daripada Liridon gagal dikawal baik Farizal sehingga membolehkan pemain gantian, Mohd Jassim Marhoon menolak masuk untuk gol kedua.

Tidak seperti yang dipamerkan pada 45 minit pertama, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dilihat begitu bergelut untuk memberikan cabaran kepada pasukan tuan rumah.

Kemasukan tiga pemain muda, Akhyar Rashid, Arif Aiman dan Luqman HakimĀ  Shamsuddin pada lewat permainan tidak banyak membantu dalam mengubah corak permainan skuad negara.