Skuad hoki negara kini berada di ranking ke-9 dunia selepas menewaskan New Zealand 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar-Rourkela semalam.

Ia adalah rekod kedudukan ranking tertinggi dalam sejarah hoki negara selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemaskini jumlah mata ranking serta-merta sebaik berakhirnya perlawanan.

Sebelum ini, FIH mengemas kini kedudukan secara berkala, kadang kala beberapa bulan selepas kejohanan tamat.

Hasil kemenangan ke atas New Zealand, skuad Speedy Tigers memperolehi 106.24 mata dan kini mengumpulkan 1969.77 mata secara keseluruhan. Pada hari isnin lepas, mereka turut menewaskan Chile untuk mengutip 35.18 mata sekaligus naik ke ranking 10 dunia.

Bagaimanapun, kedudukan ranking skuad negara belum kekal dan boleh berubah pada bila-bila masa selepas tamat saingan Piala Dunia Hoki 2023.

Malaysia juga lakar sejarah baharu apabila muncul sebagai naib juara kumpulan C buat kali pertama dalam saingan Piala Dunia. Kedudukan itu menyaksikan Malaysia akan menentang pasukan tempat ketiga Kumpulan D, Sepanyol bagi perlawanan ‘crossover’ dan penentuan ke suku akhir, Ahad ini.

Sekiranya dapat meraih kemenangan, anak buah Arul Selvaraj berpeluang menambah lebih banyak mata ranking sekaligus naik di ranking lebih tinggi. Ketika ini, kedudukan ranking Malaysia dengan Sepanyol hanya dipisahkan sebanyak 84.37 mata.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sebelum bermulanya Piala Dunia sudah menyatakan misi mereka adalah untuk kembali berada dalam kelompok 10 dunia dengan mengumpul mata sebanyak mungkin.

Malaysia sudah pasti mengetahui corak permainan Sepanyol kerana kedua-duanya telah bertemu dalam perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia bermula yang menyaksikan skuad negara tewas tipis 2-3.

Jika berjaya menewaskan Sepanyol, skuad Speedy Tigers bakal bertemu juara kumpulan A sama ada Australia atau Argentina di peringkat suku akhir yang berlangsung pada 24 Januari 2023.