Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj akan memberikan tumpuan kepada situasi pukulan sudut penalti menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Hoki 2023 bertemu New Zealand, Khamis ini.

Pada pertemuan dengan Chile yang menyaksikan The Speedy Tigers mempamerkan kebangkitan untuk melakar kemenangan 3-2, skuad negara dihadiahkan 11 pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan.

Kekentalan dipamerkan barisan pemain Chile menyaksikan hanya satu peluang berjaya disempurnakan menerusi Norsyafiq Sumantri sekali gus merupakan jaringan kemenangan skuad negara.

Keadaan itu pastinya membuatkan Arul sedikit gusar kerana pukulan sudut penalti sentiasa menjadi senjata utama skuad negara untuk merobek gawang lawan terutamanya menerusi ledakan Razie Rahim.

Dalam masa sama, Arul tetap memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya mencatatkan kemenangan yang diharapkan pada aksi kedua tersebut.

“Kemenangan yang amat penting untuk pasukan. Jadi, kita telah mencapai tujuan ataupun fokus kita pada dua perlawanan,” ujar Arul Selvaraj menurut sumber video dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

“Menentang Belanda bagaimana cara kita bermain dan apa yang kita mahukan pada perlawanan tersebut. Dan juga pada hari ini [petang semalam] ia merupakan kemenangan yang akan memberikan kita langkah yang cukup bagus untuk ke peringkat seterusnya.”

“Walaupun kita bangkit dua kali, pemain menunjukkan kemampuan disiplin dan kegigihan yang tinggi. Komitmen mereka untuk turun ke perlawanan ini bagi mencari kemenangan.”

“Daripada segi pukulan sudut penalti pula, sudah pasti kita akan mengkaji tetapi kita juga mendapatkan satu jaringan daripada pukulan sudut penalti ‘rebound’ dan satu lagi daripada penalti strok serta satu gol padang.”

“Kita akan kaji semula daripada segi serangan ketika pukulan sudut penalti tetapi yang pentingnya untuk hari ini adalah kemenangan bagi mendapatkan tiga mata,” tambah Arul Selvaraj lagi.