Malaysia mempamerkan kebangkitan hebat untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Chile pada aksi kedua Piala Dunia Hoki 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki Antarabangsa Mirsa Munda, Rourkela, India sebentar tadi.

Lawan yang berada di ranking ke-23 dunia itu bagaimanapun tidak memberikan laluan mudah buat skuad kendalian Arul Anthoni Selvaraj terutamanya pada suku pertama dan kedua.

Selepas skuad negara mendapat dua peluang terbaik pada awal permainan menerusi Firhan Ashari dan lorongan baik Ramadan Rosli yang tidak berjaya ditolak Ashran Hamsani ketika pintu gol sudah pun terbuka, Chile tampil dengan lebih garang.

Ia dibuktikan apabila anak buah Jorge Dabanch itu menguji gawang Malaysia yang dikawal Muhammad Hafizuddin Othman menerusi pukulan sudut penalti Juan Amaroso pada minit kesembilan.

Berselang seminit kemudian, giliran Raimundo Valenzuela pula mendapat peluang terbaik tetapi pukulannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Kehampaan itu ditebus Amoroso pada minit ke-20 apabila beliau bijak menyudahkan pukulan sudut penalti dengan meletakkan bola diantara Hafizuddin dan Najmi Farizal Jazlan.

Kelebihan itu dipadamkan oleh pemain berpengalaman, Razie Rahim hasil pukulan penalti strok ketika permainan memasuki minit ke-26.

Kegembiraan skuad negara bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua minit sahaja berikutan jaringan kedua dihasilkan oleh Martin Rodriguez menerusi pukulan kilas menarik untuk menewaskan Hafizzudin.

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan pemain negara meningkatkan lagi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi Chile cukup berdisiplin dalam bertahan ketika situasi pukulan sudut penalti.

Tertekan tanpa sebarang jaringan dalam 10 pukulan sudut penalti diterima, Ashran Hamsani akhirnya mengikat kedudukan pada minit ke-40 selepas beliau menolak masuk bola hasil hantaran tinggi daripada Shello Silverius.

Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan Marhan Jalil dan rakan sepasukannya untuk mendapatkan jaringan kemenangan hanya berselang seminit kemudian.

Berpunca daripada pukulan sudut penalti ke-11 yang diterima skuad negara, ia telah membuahkan hasil buat skuad Malaysia.

Norsyafiq Sumantri tidak melepaskan peluang terhidang itu untuk melakukan pukulan kilas yang menewaskan penjaga gol Chile, Adrian Henriquez pada minit ke-40 bagi memberikan tiga mata berharga buat skuad Malaysia walaupun detik dramatik terpaksa dihadapi pada lewat permainan.