Penyokong Manchester City ada sebab tersendiri untuk bergembira selain daripada kelab kesayangan mereka berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 29 Mei nanti.

Hal ini kerana pemilik kelab, Sheikh Mansour bin Zayed Al-Nahyan telah mengumumkan berita gembira untuk menaja perbelanjaan penyokong The Cityzens bagi menyaksikan pertembungan dengan sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di Estadio do Dragao, Porto.

Perkembangan terkini tersebut sudah pastinya menjadi hadiah berikutan kesetiaan para penyokong dalam merealisasikan impian Manchester City untuk layak ke pentas akhir saingan paling berprestij di Eropah itu.

Menurut sumber laman sesawang rasmi Manchester City, langkah itu juga diambil oleh Sheikh Mansour sebagai meredakan ketegangan dari segi kewangan dihadapi para penyokong kelab tersebut susulan serangan wabak yang masih melanda dunia ketika ini.

Beliau turut menyedari bahawa masalah dihadapi akan mempengaruhi semua penyokong City yang ingin ke Porto kerana mereka terpaksa melakukan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang membuatkan kos perjalanan semakin meningkat.

Berikutan undang-undang ketat berpunca daripada wabak tersebut, para penyokong Manchester City yang ingin terbang ke Porto diminta untuk melakukan perjalanan 24 jam [balik hari] di mana Sheikh Mansour akan membiayai segala hal berkaitan pengangkutan ribuan peminat dengan menggunakan pakej pelancongan rasmi pada hari perlawanan.

“Pep dan pasukan telah menikmati musim yang lur biasa dan mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas tahun yang sangat mencabar menjadikan saat bersejarah buat kelab.”

”Oleh itu, sangat penting buat seberapa ramai penyokong yang boleh untuk berpelung menghadiri perlawanan yang istimewa ini. Terutamanya mereka yang menyokong Manchester City ketika jatuh dan bangun untuk bertahun-tahun lamanya,” ujar Sheikh Mansour.

Manchester City layak ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan finalis musim lalu yang merupakan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) 4-1 secara agregat di saingan separuh akhir.

Ia juga merupakan final kedua berturut-turut buat pengendali Chelsea, Thomas Tuchel di mana pada musim lalu beliau kecewa di tangan Bayern Munich sewaktu membimbing PSG.

Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester City:

Messi Pertimbang Gabung Semula Dengan Guardiola

RASMI: Manchester City Juara EPL 2020/21

EPL: Manchester City Ulangi Rekod 2017, Dan 15 Mata Di Atas United