Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Mohd Saad mengakui satu kepuasan tersendiri selepas berjaya melakar jaringan pertamanya musim ini pada aksi pembukaan TM Piala Malaysia 2022.

Jelasnya, dia sudah lama menanti detik berkenaan dan berharap gol yang dicipta pada minit ke-4 bagi menewaskan PJ City 4-0 akan menyuntik motivasinya dalam
menambah lagi koleksi jaringan bersama JDT.

Selain itu, Shahrul berkata, kemenangan itu membuktikan semangat berpasukan menjadi teras kekuatan JDT walaupun mereka turun tanpa penggempur utama, Bergson da Silva.

“Secara peribadi, sudah lama saya menunggu lakukan jaringan untuk JDT pada musim ini dan sangat gembira kerana berjaya mendapatkan gol penting kepada pasukan dalam perlawanan ini.”

“Saya harap gol ini dapat beri semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan sentiasa berkeyakinan jika mendapat peluang bagi lakukan jaringan.”

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

“Bukan kami tidak perlukan Bergson selepas menang selesa tetapi ini bukti semangat berpasukan di dalam JDT sangat baik.”

“Sesiapa yang boleh membantu pasukan, kami akan sentiasa berikan yang terbaik bagi mendapatkan gol selain satu lagi paling penting, gawang kami tidak
dibolosi dan diharapkan di sana tidak ada masalah buat kami,” katanya.

Dalam perlawanan itu, sepakan penjuru dari sebelah kiri yang diambil Arif Aiman berjaya ditanduk kencang Shahrul Saad yang tidak diberikan sebarang tekanan oleh pemain-pemain PJ City.

Gol daripada Shahrul jelas menyemarakkan semangat perjuangan JDT yang terus menambah kelebihan melalui Safawi Rasid pada minit ke-39 dengan Shahrul juga bertindak pengumpan melalui hantaran jarak jauh.

Dua lagi jaringan JDT terhasil di separuh masa kedua menerusi Akhyar Rashid (minit ke-70) dan Fernando Forestieri (minit ke-79).