Bekas pemain pertahanan kental Johor dan skuad kebangsaan, Azmil Azali berpendapat prestasi Shahrul Saad akan terus meningkat selepas pemain tersebut sah menjadi rekrut baharu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Shahrul, 28 tahun terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan Perak yang diwakilinya sejak musim 2016 itu susulan masalah kewangan dihadapi sehingga menyebabkan masalah tunggakan gaji membelenggu kelab tersebut.

Keadaan itu juga menyaksikan JDT turut mendapatkan khidmat pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme De Paula yang diumumkan bersama-sama Shahrul Saad, semalam.

Dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan dan dilabel sebagai antara pertahanan terbaik Malaysia, kehadiran Shahrul jelas merupakan tambahan yang cukup berharga buat skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Sehubungan dengan itu, Azmil turut melihat banyak perkara positif yang dapat dinikmati Shahrul susulan penghijrahannya itu.

“Ya [Shahrul akan terus meningkat] berbekalkan dengan suasana [fasiliti] latihan yang selesa, beliau hanya perlu fokus untuk berlatih dan tidak perlu memikirkan tentang perkara-perkara lain.”

“Beliau mesti meningkatkan lagi prestasinya kerana seperti kita tahu Shahrul merupakan pemain kebangsaan,” ujar Azmil bercakap kepada wakil Vocket FC.

“Kehadiran beliau juga diharapkan dapat memantapkan lagi jentera pertahanan tengah JDT daripada mudah dibolosi pihak lawan.”

“Selain itu, pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa juga dapat membantu permainan beliau bagi membantu jentera pertahanan JDT.”

“Semoga beliau akan terus matang dan berjaya meningkatkan lagi prestasinya dengan sikap yang profesional setelah menyertai pasukan yang boleh dikatakan serba lengkap ini. Semoga berjaya Shahrul Saad!” tambah Azmil Azali lagi.

Baca artikel lain dari kami mengenai Shahrul Saad dan JDT:

Shahrul Saad Dan Guilherme De Paula Sah Sertai Johor Darul Ta’zim

Shahrul Saad: Daripada Produk Berkualiti SMK Anderson Ke Benteng Harapan Negara

Alistair Edwards: JDT Pinjamkan Beberapa Pemain Ke Melaka United, Sri Pahang, Sabah Dan UiTM