Penyokong setia skuad Penang FC yang dikenali sebagai Ultras Panthers meluahkan rasa tidak puas hati dengan rekaan tiket perlawanan Piala Harapan 2023 yang bakal bermula pada hari esok.

Perlawanan pramusim empat penjuru yang julung kali itu dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Penang (PFC) serta turut disertai oleh Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan kelab dari Singapura, Geylang International FC.

Semua perlawanan Piala Harapan ini akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan bermula jam 9.00 malam. Pemenang akan melangkah ke perlawanan akhir pada 4 Februari manakala pasukan yang tewas beraksi dalam penentuan tempat ketiga/keempat.

Bagaimanapun, keadaan tiket perlawanan yang dijual dengan harga RM5.00 hingga RM15.00 itu dilihat menyerupai kupon hari kantin sekaligus mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan penyokong.

Menurut Ultras Panthers, ia adalah langkah yang kurang ‘cerdik’ daripada pengurusan PFC dan menunjukkan sikap kerja sambil lewa dalam penyediaan tiket perlawanan seperti zaman tahun 2000.

Ianya juga akan memberi imej buruk kepada pihak penganjur kerana perlawanan tersebut turut dihadiri oleh ratusan penyokong dari Kedah, Selangor dan malah dari negara jiran, Singapura.

“Kurang bijak dari pengurusan yang takdak unit marketing dan akai..kalau kurang cerdik atau tak ada ilmu anda boleh roger fans fans penang kami sudi bantu anda menjadi sebaik baiknya dan dipandang tinggi oleh orang luaq..

“ni engkau buat piala harapan engkau jemput pasukan power power dah pulak tiket engkau macam kupon hari kantin eh gampang engkau duduk zaman 2000 ke hanat!!!!!,” tulis Ultras Panthers melalui laman facebook mereka.

Namun begitu, terdapat juga peminat bola sepak tempatan berpendapat ia mungkin adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang terpaksa dilakukan oleh pengurusan PFC disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Ada juga yang membandingkan dengan tiket perlawanan persahabatan oleh Kedah Darul Aman FC pada minggu lepas yang jelas menunjukkan etika profesional dan bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan sesuai dengan status mereka sebagai kelab bola sepak swasta.

Sumber Gambar: Fatah Dek Mad