Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu, Jonathan Balotelli bagi mengisi posisi penyerang untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Bola sepak Asia tidak asing bagi pemain dari Brazil itu kerana musim lepas beliau beraksi bersama kelab divisyen 2 Korea Selatan, Jeonnam Dragons. Sebelum ini, Balotelli pernah beraksi dalam saingan Liga Qatar dengan kelab Al Gharafa pada musim 2017-18.

Ketajaman Balotelli yang kini berusia 33 tahun ditagih bagi menjadi senjata pemusnah Sang Kenari berganding dengan seorang lagi penyerang import, William Lira. Balo akan menggunakan jersi bernombor 89 KDA FC pada musim 2023.

Berdasarkan rekod, Balotelli telah menjaringkan  20 gol serta 7 bantuan gol dalam 62 penampilan K-League 2. Antara pencapaian terbaiknya ialah membantu Jeonnam Dragons menjuarai Piala FA Korea Selatan pada musim lepas.

Mempunyai ketinggian 185 cm, kelebihan fizikal yang ada padanya bakal memberi kesukaran kepada barisan pertahanan lawan untuk mengekang pergerakannya.

Sehingga kini, KDA sudah pun mempunyai tujuh pemain import yang sudah didaftarkan iaitu Bojan Ciger, Alan Davidson, Amirbek Juraboev, Manny Ott, Manuel Hidalgo, Willian Lira, dan terbaharu Jonathan Balotelli.

Selain itu, pasukan tersebut juga buat pertama kali mendapatkan khidmat pemain tengah naturalisasi yang sudah pun mempamerkan aksi berkualiti bersama skuad kebangsaan iaitu Lee Andrew Tuck.

Untuk persiapan semasa, KDA bakal mengharungi satu kejohanan pramusim yang diberi nama Piala Harapan dengan penyertaan tiga lagi kelab iaitu Selangor, Penang, dan Geylang United.