Selangor FC menafikan laporan yang tular di media sosial berkaitan dengan maklumat gaji pemain mereka yang dibayar sangat tinggi.

Dalam kenyataan media rasminya, Selangor FC menegaskan bahawa ianya adalah fitnas dan akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Selangor memberikan jaminan kepada peminat mereka, bahawa kelab itu berada di landasan yang tepat dalam pelbagai aspek dengan mendukung prinsip dan nilai murni kelab tersebut.

Mengulas tentang penularan gaji pemain – yang didakwa sebagai butiran – oleh penyebar maklumat tersebut,  Selangor FC berkata:

Kelab Bola Sepak Selangor (“Kelab”) mengambil maklum berkenaan satu kandungan yang disebarkan di media sosial dan kemudiannya dilaporkan oleh agensi media lain, yang mengandungi dakwaan mengenai gaji seseorang individu di dalam Kelab.

Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan ‘posting’ tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah. Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.

Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej Kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan Kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama.

Pihak Kelab akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pemfailan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Kelab juga ingin memberi jaminan kepada penyokong bahawa Kelab kini berada atas landasan yang baik dalam pelbagai aspek dan akan kekal komited terhadap nilai Selangor FC yang berteraskan integriti, ketelusan dan keadilan dalam membina sebuah kelab bola sepak yang kukuh dan berjaya, di atas mahupun di luar padang.

Kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini sementara menunggu prosiding undang-undang.

Selangor FC kini dalam usaha untuk membentuk pasukan yang lebih baik pada musim ini.

Selepas 8 perlawanan, Selangor di tangga kedua dengan 19 mata, hanya 5 mata di belakang pendahulu – yang juga juara bertahan – JDT.

Selangor pastinya mahu menamatkan kemarau kejuaraan piala mereka pada musim ini dalam pentas domestik.