Selangor FC semalam melancarkan jersi ketiga untuk musim 2023 yang direka khas dengan hasil kerjasama ‘Official Art Community Partner’, Selangor Youth Community (SAY), Selangor Creative Arts Movement (SCREAM) dan Rantai Art yang diumumkan baru-baru ini.

Mengenakan tema serta slogan #KitaSelangor yang melambangkan Komuniti bola sepak Gergasi Merah, jersi ‘Third’ kali ini berbeza daripada sebelumnya, ia direka melalui lukisan teknik doodle yang dibuat khas berkaitan kehidupan sekeliling yang mengisahkan tentang penyokong dan kelab bola sepak Merah Kuning ini.

Jersi alternatif ini juga mengenakan warna Biru untuk lukisan doodle, di bahagian kolar dan lengan yang melambangkan perpaduan, cukup sinonim dengan tema #KitaSelangor.

Selain itu, penggunaan warna Putih pula merujuk kepada kanvas kosong yang boleh dilakar dengan corak dan elemen kehidupan seperti di Negeri Selangor yang menjadi pusat kepelbagaian budaya serta komuniti. Sentuhan warna Emas pula melambangkan kejayaan, pencapaian dan kecemerlangan dalam pelbagai arena seperti Sukan, Komuniti dan Seni di negeri ini.

Bentuk bendera Negeri Selangor diletakkan di belakang jersi ini selari dengan tema #KitaSelangor, menandakan rakyat Selangor yang sentiasa bersatu dalam apa sahaja keadaan.

Antara elemen doodle lain yang terdapat pada jersi adalah Stadium, Piala yang Selangor FC pernah menangi, bola sepak, mafla, kuaci serta gendang yang diinspirasikan oleh komuniti bola sepak Gergasi Merah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan tentang pemilihan tema #KitaSelangor untuk jersi kali ini.

“KitaSelangor digunakan bagi meraikan rakyat Selangor yang sentiasa bersatu dan sentiasa berada di belakang pasukan Gergasi Merah, menyokong dengan penuh semangat tidak mengira lapisan umur, bangsa, agama dan kedudukan, mereka semua bersatu untuk setiap perlawanan Merah Kuning.

“Dengan mengeluarkan jersi ‘Third’ ini, pihak pengurusan Selangor FC berharap para penyokong tahu bahawa Kelab menghargai sokongan mereka serta kami amat menghargai perjuangan anak-anak seni Selangor yang lain.” katanya dipetik dalam laman web SFC.

Jersi rasmi ketiga Selangor FC ini boleh didapati dengan harga RM139 (tidak termasuk potongan 10% buat pemegang RGTC) di Popup Store SFC yang berada di Stadium MBPJ atau anda boleh membuat pembelian melalui laman rasmi selangorfc.com.