Pemilik Kedah Darul Aman (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berterima kasih kepada syarikat dari luar negara yang sudi menaja pasukan dari Malaysia sekaligus mencetus revolusi baharu buat Sang Kenari.

Beberapa hari lepas, syarikat antarabangsa dari UAE, Bin Zayed International diumumkan sebagaia penaja utama pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Bagaimanapun, jumlah tajaan daripada Bin Zayed International tidak didedahkan namun pengurusan dan pasukan kejurulatihan KDA FC mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan Sang Kenari terbang tinggi pada musim ini kerana perlu menggalas harapan penaja utama tersebut.

“Mereka (Bin Zayed) mengenali saya dan ini amanah yang harus dipikul untuk mengurus pasukan agar lebih baik kerana ia turut melibatkan nama mereka juga,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, mereka juga menerima penajaan selama setahun dari Kensana Health, syarikat berlatarbelakang phytopharmaceutical berasal dari Kanada dan beroperasi di German dan Australia.

Kepercayaan syarikat asing dalam menyuntik pendanaan kelab adalah sangat penting untuk meneruskan jenama kelab bola sepak Sang Kenari.

“Kedah turut mendapat tajaan daripada Langkawi Pure (HHH Group Sdn Bhd); Energy Eco Berhad; Tek Financial (L) Limited; Cosmic Angle Travel & Tours Sdn Bhd; PayHalal (Souqa Fintech Sdn Bhd); BerryPay (M) Sdn Bhd; Data Sukan Sdn Bhd dan Lotto (Prestige Sports Sdn Bhd),” kata Mohd Daud.

Menerusi perkongsian di laman facebooknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar juga turut merancang untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan kelab bola sepak warga kota, KL City FC.

Beliau telah pun berbincang dengan pemilik saham majoriti KL City iaitu Datuk Seri Azerai yang juga merupakan tokoh perniagaan terkemuka tanah air dari Kumpulan Rinani isnin lepas.

“Banyak yang kami bincangkan. Semuanya berada di luar kotak. Seronok jumpa dan bincang dengan orang yang ada frekuensi yang sama. Nantikan banyak perkembangan dan kerjasama straegik antara KDA FC & KL CITY FC.

“Kita hanya berlawan di atas padang. Hanya untuk 90 minit. Selain itu, kita adalah rakan dan juga rakan bisnes mengurus pasukan masing-masing dengan penjimatan kos.” tulisnya.