Kuala Lumpur City FC (KL City) berpotensi menjadi antara kuasa besar bola sepak tempatan apabila secara rasminya menjadi milik Rinani Group Berhad (Rinani) iaitu sebuah firma perunding kewangan.

Perkembangan itu disahkan oleh Pengarah Rinani, Azri Azerai dalam satu kenyataan rasmi dan pihaknya mengalu-alukan KL City ke dalam keluarga Rinani, yang terdiri daripada MGRC (Malaysian Genomics Resource Centre Berhad), Bintai Kinden Corporation Berhad, SCIB (Sarawak Consolidated Industries Berhad) dan Reneuco Berhad.

“KL City sekarang merupakan kelab elit, akan terus mengetepikan sempadan dan terus menjadi kelab bola sepak yang diuruskan secara profesional dengan “keputusan bola sepak” menjadi teras.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) atas kerja yang sudah mereka lakukan sebelum ini.

“Pengambilalihan KL City adalah sebahagian daripada proses penswastaan mandatori yang dikuatkuasakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada semua kelab bola sepak Liga Super untuk diuruskan secara profesional,” katanya.

Berusia 23 tahun, Azri merupakan anak kepada ahli perniagaan terkemuka tanah air, Datuk Seri Noor Azerai Ahmad. Malah, beliau juga merupakan Pengarah Eksekutif untuk syarikat Bintai Kinden Corp Bhd.

Mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kewangan, pelaburan dan risiko dari The London Institute of Banking & Finance dan turut menjadi ahli lembaga pengarah kepada 3 syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia.

Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata, beliau mengalu-alukan kesediaan Kumpulan Rinani membeli 51 peratus saham KL City FC dan dengan itu menjadi pemilik bersama dengan KLFA.

“Adalah diharapkan penyokong KL City akan menerima baik perubahan ini, Insya Allah ia akan membuka zaman baharu pasukan di mana semangat juang peniaga swasta dan sifat usahawan yang akan mendorong ke arah kejayaan,” katanya.

KL City yang juga merupakan naib juara Piala AFC 2022 pernah terpalit dengan isu kewangan dan merupakan antara kelab yang mempunyai bajet kecil. Namun, segalanya akan berubah selepas diuruskan oleh Rinani yang mempunyai kekuatan dari segi kewangan.