Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali berharap agar saingan bola sepak tempatan tidak dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan perubahan positif.

Sepak mula Liga Malaysia 2021 yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada penghujung Februari terpaksa ditunda ke 5 Mac ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan tersebut pastinya merisaukan semua pihak dan ia tidak terkecuali dirasai oleh para pemain bola sepak serta seluruh warga yang terlibat dalam kancah liga tempatan.

Menurut sumber Utusan Malaysia, Safee mengakui para pemain tidak bermasalah untuk menerima keputusan penangguhan liga tersebut tetapi benar-benar berharap agar tiada keputusan susulan untuk membatalkan saingan tersebut.

Safee yang baharu sahaja menyertai skuad Kuala Lumpur melihat pelbagai masalah akan dihadapi terutamanya daripada segi emosi dan mental sekiranya keputusan itu diambil pihak terlibat.

“Buat masa ini, saya mewakili pemain-pemain lain boleh menerima keputusan MFL untuk menangguhkan Liga Malaysia kepada 5 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cuma saya harap tidaklah sampai dibatalkan, impaknya pasti sukar kepada pemain dan pegawai yang terlibat dengan Liga Malaysia, jadi saya mengharapkan MKN boleh memberi kelonggaran dalam soal ini.

“Inilah satu-satunya pendapatan kami dan saya harap MKN dapat melihat akan kepentingan daripada sudut ekonomi kerana industri bola sepak sebenarnya cukup besar di negara ini.

“Sebagai balasan, segala SOP (Prosedur Operasi Standard) yang akan dibentangkan nanti, kami sebagai pemain akan ikuti tanpa sebarang masalah biarpun mungkin lebih ketat berbanding sebelum ini,” ujar Safee Sali bercakap kepada wakil Utusan Malaysia.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Jonathan Herrera Kini Sah Bergelar Pemain Harimau Selatan

Isu Tunggakan Gaji: Hukuman Sekatan Perpindahan Bakal Menanti Melaka United

PFAM: Keputusan FIFA Mengenai Kes Mohamadou Sumareh Bukti Kemenangan Perjuangan Pemain