Legenda Manchester United, Roy Keane jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila melihat skuad yang pernah dipimpinnya itu terus menjadi bahan jenaka susulan tunduk kepada Liverpool, awal pagi tadi.

Beliau turut menganggap Manchester United memerlukan perubahan drastik dari segenap aspek selepas pelbagai masalah besar dihadapi kelab tersebut.

Kekalahan kesembilan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 itu menyaksikan Manchester United semakin sukar untuk menamatkan musim ini di kedudukan empat pasukan teratas.

Lebih perit untuk diperkatakan, skuad kendalian Ralf Rangnick itu akan berhadapan pula dengan musuh tradisi, Arsenal dan Chelsea pada dua aksi liga seterusnya.

“Sekarang sudah tiada rasa marah, hanya tinggal kesedihan,” ujar Keane menurut kenyataannya yang dikeluarkan Sky Sports.

“Tidak ada pemimpin [di United], mereka juga tidak mempunyai kualiti. Kelab ini bermasalah daripada atas. Mereka memerlukan pengurus baharu, perlu untuk membeli dan menjual pemain. Amat sedih sekali melihatnya.”

“Ini bukan kelab seperti yang saya pernah pimpin. Sangat jauh berbeza. Saya tidak melihat sebuah pasukan Manchester United di luar sana yang sedang berjuang dengan penuh kebanggaan.”

“Sepanjang pengalaman saya di kelab ini, Manchester United selalu mempunyai pemain dengan karakter yang cukup hebat. Para pemain yang memberikan segalanya demi kelab. Tetapi pasukan ini tidak mempunyai jiwa.”

“Malah, sidang media mereka selepas perlawanan juga seperti robot dan mereka tidak mempunyai emosi,” tambah Roy Keane lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah melalui pautan dibawah.

Rangnick Akui Malu, Dan Sarankan Manchester United Dapatkan 10 Pemain Baharu

EPL: Manchester United Sekali Lagi Dibantai Liverpool

Tiada Cristiano Ronaldo Menentang Liverpool Di Anfield

Sumber