Pemain kacukan negara, Richard Chin terus mempamerkan prestasi cemerlang di England apabila baru-baru ini beliau membuat penampilan pertama dalam saingan divisyen tiga saingan bola sepak negara itu iaitu EFL League One.

Menurut perkongsian Harimau Abroad, Richard diberikan peluang untuk beraksi dimana beliau diturunkan selama 72 minit pada aksi menentang Forest Green Rovers yang menyaksikan kedua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

Richard diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengurus pasukan, Ben Garner dan beliau diletakkan di posisi pertahanan kiri. Pada minit ke-72, beliau dikeluarkan dan digantikan oleh Charles Clayden.

Sebelum ini, Richard Chin mencipta sejarah apabila menjadi pemain berdarah Malaysia pertama yang tampil dalam saingan Piala EFL. Richard diturunkan pada aksi pusingan kedua Piala EFL menentang Walsall dimana beliau mengisi posisi pertahanan kanan pada aksi tersebut yang menyaksikan Charlton menang dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Diallang Jaiyesimi.

Setelah membuat penampilan bersama skuad senior Charlton, timbul gesaan daripada peminat bola sepak tanah air yang meminta agar Richard dipanggil bagi beraksi bersama skuad kebangsaan.

Sekiranya Richard Chin memilih untuk beraksi bersama Malaysia, maka beliau boleh diserapkan terlebih dahulu dalam skuad B-19 dan kemudiannya B-23 bagi memberikan gambaran sekaligus membuktikan kemampuan beliau bersama pasukan kebangsaan.

Selain Richard, Malaysia mempunyai seorang lagi pemain yang beraksi di England iaitu Jaami Qureshi yang musim lalu beraksi bersama pasukan akademi Brighton & Hove Albion.

Akan tetapi, peluang untuk melihat Jaami beraksi bersama skuad Harimau Malaya dilihat tipis setelah bapanya, Perviz Qureshi mengkritik tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang enggan berjumpa dengannya ketika lawatannya ke Wisma FAM pada 16 Jun lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Perviz menuduh Datuk Hamidin tidak menghormatinya dan enggan untuk bertemu dengan anaknya selain tidak memperkenalkan Jaami kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.