Kelab bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menarik minat jenama terkenal antarabangsa apabila baharu sahaja mengumumkan kerjasama dengan platform ‘fans engagement’ dan ganjaran, Socios.com.

Seperti diketahui, Socios.com merupakan jenama yang cukup sinonim dengan kelab ternama di Eropah seperti Barcelona, Inter Milan, Paris-Saint Germain, Juventus dan banyak lagi.

Kerjasama yang sudah pastinya menjadi yang pertama dalam kancah bola sepak tempatan itu diumumkan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan Ketua Pegawai Eksekutif Socios.com, Alexandre Dreyfus di Bilik Sidang Media Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Pengumuman itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers, sebentar tadi.

Sejajar dengan kemampuan hebat dan kejayaan gemilang diraih sejak kehadiran dalam saingan liga tempatan pada 2013, JDT kini mampu untuk mencipta peluang ‘fans engagement’ dan ganjaran baharu untuk penyokong setia mereka menerusi $JDT Fan Tokens di Socios.com.

Fan Tokens adalah aset digital yang membolehkan penyokong mengakses komuniti di mana pertandingan, undian kelab, ‘prediction’ dan pelbagai lagi ciri-ciri boleh memberi akses kepada ganjaran termasuk barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman kelab yang unik dan tidak akan dilupakan.

Difahamkan, penyokong JDT juga boleh mengundi dalam membuat keputusan yang akan dibuat oleh kelab dalam pelbagai bahagian mengenai pasukan, stadium dan fasiliti berkelas dunia JDT.

Para Pemegang Fan Token juga boleh mengundi Pemain dan Gol Terbaik Bulanan selain membantu membuat keputusan siapakah pemain atau kakitangan yang bakal muncul dalam kandungan Media Sosial kelab.

Selain itu, pemegang Fan Token juga layak untuk memenangi hadiah istimewa termasuk jersi ‘match-worn’ pemain dan pelbagai barangan cenderahati yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini untuk dibeli oleh penyokong.