Manchester United secara rasminya mengumumkan kehadiran semula bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab tersebut, sebentar tadi.

Setelah meninggalkan Manchester United kira-kira 12 tahun lalu untuk berhijrah ke Real Madrid, Cristiano telah memeterai kontrak selama dua musim dengan pilihan tambahan semusim untuk fasa keduanya di Old Trafford.

Hadir dengan reputasi hebat, sumbangan berkesan daripada pemain berusia 36 tahun itu pastinya amat ditagih Ole Gunnar Solskjaer dalam usaha beliau bagi memantapkan jentera serangan Manchester United pada musim ini.

Selain itu, Cristiano Ronaldo juga telah memberikan impak pantas berikutan kepulangannya ke United apabila baru-baru ini menyaksikan saham kelab tersebut meningkat sekitar £212 juta (RM1.22 bilion).

“Manchester United merupakan sebuah kelab yang sentiasa berada di tempat istimewa dalam hati saya,” ujar Cristiano menurut kenyataan di laman sesawang Manchester United.

“Saya terharu dengan semua mesej yang saya terima sejak daripada pengumuman yang dibuat pada hari Jumaat lalu.”

“Saya tidak sabar untuk bermain di Old Trafford, di hadapan stadium yang penuh dan melihat semua penyokong sekali lagi.”

“Saya tidak sabar untuk menyertai pasukan selepas aksi antarabangsa [bersama Portugal], dan saya berharap kami akan menikmati satu musim yang cemerlang,” tambah Cristiano Ronaldo lagi.

Ketika bersama Manchester United pada 2003/04 hingga 2008/09, Cristiano Ronaldo berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah 2007/08 serta memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tiga kali.

Mungkinkah kehadirannya kali ini akan memberikan sesuatu yang lebih menarik buat Manchester United? Sama-sama kita nantikan!

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Nazrulerwan: Inilah Akibat Pandang Rendah Keupayaan Lawan

Paul Pogba: Ini Skuad Terkuat Sepanjang Saya Di Manchester United

Yusri Che Lah Harap Kemenangan Sulung Tingkatkan Motivasi Anak Buah